'Dari mana datang keyakinan UMNO mampu menang solo di Kedah?' - Sanusi

Muhammad Sanusi. Foto: Bernama
Muhammad Sanusi. Foto: Bernama
A
A
A

ALOR SETAR -  “Dari mana datang keyakinan itu?”

Itu reaksi Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa UMNO mempunyai peluang cerah untuk kembali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sekiranya bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan Ahmad Bashah dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 itu, Muhammad Sanusi berkata, ia tidak bersandarkan pada fakta.

“Ahmad Bashah rujuk rekod dan data yang mana? Dari mana datang keyakinan itu?

“Pada PRU14, UMNO bertanding solo dan hanya menang tiga kerusi DUN di Kedah. Ketika itu, UMNO belum bekerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH). PH pula menang 18 kerusi, manakala Pas memperoleh 15 kerusi,” katanya yang dipetik menerusi Kedah Online.

Ahmad Bashah yang juga bekas Menteri Besar Kedah yakin sokongan orang Melayu akan kembali kepada UMNO selepas pengundi mengakui kesilapan lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selepas UMNO menjalin kerjasama dengan PH, Barisan Nasional (BN) hilang semua kerusi, manakala PH hanya tinggal tiga kerusi DUN serta satu kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15.

Menurutnya, kerjasama BN–PH di Kedah dilihat longgar dan gagal menunjukkan kesepaduan dalam gerak kerja politik.

“Daripada pengamatan saya, BN–PH umpama saling ‘membunuh’ sesama sendiri. Perwakilan Kedah ketika membahas dalam PAU sendiri sahkan, pejabat Sekretariat PH–BN pun naik habuk dah, tak ada mesyuarat bersama,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi turut mempersoalkan tindakan Pengerusi PH Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa hanya menumpukan perhatian kepada Parlimen Padang Serai sebagai kawasan sasaran peribadi menjelang PRU akan datang.

Ringkasan AI

  • Keyakinan UMNO untuk memenangi kerusi DUN Kedah secara solo dipersoalkan oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN
  • UMNO memenangi tiga kerusi DUN sahaja pada PRU14 ketika bertanding solo
  • Selepas bekerjasama dengan PH, BN hilang semua kerusi DUN di Kedah pada PRU15
  • Kerjasama BN-PH di Kedah dilihat longgar dan gagal menunjukkan kesepaduan
  • Muhammad Sanusi mempersoalkan tumpuan Pengerusi PH Kedah hanya kepada Parlimen Padang Serai

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!