Kehilangan Nadia Kesuma dilaporkan kepada polis Arab Saudi

PUTRAJAYA - Kehilangan pelakon Nadia Kesuma yang dikatakan gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada Khamis lepas telah dilaporkan kepada polis Arab Saudi.
Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata, laporan mengenai kehilangan pelakon itu telah dibuat dan pihaknya menunggu hasil siasatan polis Arab Saudi.
"Kita sedang tunggu hasil penyiasatan (daripada pihak polis Arab Saudi),” katanya ketika dihubungi Bernama.
Hari ini, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, laporan kehilangan pelakon Nadia Kesuma kini dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi.
Beliau berkata, laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga pelakon itu di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA semalam, diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).
Media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik itu gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada Khamis.
Kehilangan itu turut disahkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), semalam.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan perkara terbabit kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menjejaki pelakon berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Kehilangan pelakon Nadia Kesuma di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah dilaporkan kepada polis Arab Saudi
- Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi menunggu hasil siasatan
- Laporan kehilangan dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi
- Pelakon itu gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Jeddah
- Kehilangan Nadia Kesuma disahkan oleh Persatuan Seniman Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
