PDRM terima laporan kes kehilangan Nadia Kesuma

A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kes kehilangan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah di Arab Saudi pada Khamis lepas.

Laporan polis tentang kehilangan Nadia Kesuma atau nama sebenarnya Nadia Kasumawati Abdul Karim dibuat oleh ahli keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi dalam kenyataannya hari ini berkata, laporan kehilangan pelakon tersebut telah dirujuk kepada Konsulat Malaysia di Arab Saudi.

"Laporan polis yang dibuat oleh ahli keluarga pelakon itu diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).

"Siasatan lanjut sedang dilakukan berhubung kehilangan pelakon itu," katanya.

Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi IPD KLIA melalui talian 03-87768222 atau pegawai penyiasat Insp Puvanesan a/l Raja Segeran, 019-5883034.

Media melaporkan pelakon filem Syaitan Munafik itu dilaporkan gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis.

Kehilangan itu turut disahkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) semalam.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Seniman Hafiz Nafiah berkata, beliau secara peribadi telah memaklumkan perkara terbabit kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menjejaki pelakon berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis Diraja Malaysia menerima laporan berhubung kehilangan pelakon Nadia Kesuma di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah
  • Laporan polis dibuat oleh ahli keluarga Nadia di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA
  • Siasatan lanjut sedang dilakukan oleh Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi
  • Nadia Kesuma dilaporkan hilang ketika transit di Jeddah untuk penerbangan ke London dari Kuala Lumpur
  • Kehilangan Nadia Kesuma turut disahkan oleh Persatuan Seniman Malaysia dan tindakan segera dicadangkan kepada Menteri Luar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!