Mohd Rosdi dilantik ketuai IPD Cheras

Mohd Rosdi (kanan) dilantik Ketua Polis Daerah Cheras baharu menggantikan Aidil (kiri) dengan disaksikan Fadil di IPD Cheras pada Jumaat.
Mohd Rosdi (kanan) dilantik Ketua Polis Daerah Cheras baharu menggantikan Aidil (kiri) dengan disaksikan Fadil di IPD Cheras pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud dilantik Ketua Polis Daerah Cheras baharu pada Jumaat.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Mohd Rosdi yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Kota Bharu dilantik bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Aidil Bolhassan yang dinaikkan pangkat Ketua Penolong Pengarah Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Fadil berkata, tugas sebagai Ketua Polis Daerah sememangnya menuntut keupayaan kepimpinan yang tinggi, lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran keselamatan dan trend jenayah yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

"Namun, dengan kepimpinan yang mantap serta semangat esprit de corps yang kukuh dalam kalangan pegawai dan anggota, Insya-ALLAH setiap cabaran dapat ditangani dengan berkesan.

"Sehubungan itu, saya menyeru seluruh warga IPD Cheras, khususnya pegawai, anggota dan pegawai awam agar memberikan sokongan padu serta kerjasama sepenuhnya kepada Mohd Rosdi selaku Ketua Polis Daerah Cheras yang baharu dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh pucuk pimpinan pasukan," katanya.

Sementara itu, Mohd Rosdi berkata, beliau mengharapkan kerjasama padu seluruh warga IPD Cheras termasuk petugas media dalam usaha menyambung legasi cemerlang kepimpinan terdahulu.

“Saya akan meneruskan visi dan misi pucuk kepimpinan dan saya akan meneruskan legasi kecemerlangan. Semoga media dan masyarakat memberikan kerjasama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud dilantik Ketua Polis Daerah Cheras pada Jumaat
  • Majlis serah terima tugas disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus di IPD Cheras
  • Mohd Rosdi gantikan Senior Asisten Komisioner Aidil Bolhassan yang dinaikkan pangkat
  • Fadil menekankan tugas Ketua Polis Daerah menuntut kepimpinan tinggi untuk hadapi cabaran keselamatan dan jenayah
  • Mohd Rosdi berharap kerjasama padu dari warga IPD Cheras dan media untuk menyambung legasi kepimpinan cemerlang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!