'Jalan ke bulan' di Kinabatangan: JKR Sabah bertindak, segera baik pulih kerosakan

Kerja-kerja pembaikan jalan dilakukan dengan menutup lubang di jalan terlibat.
Kerja-kerja pembaikan jalan dilakukan dengan menutup lubang di jalan terlibat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Laporan khas Sinar Harian berhubung keadaan jalan rosak teruk di Kinabatangan akhirnya mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah apabila beberapa tindakan segera dan perancangan jangka panjang telah dilaksanakan bagi menangani masalah berkenaan.

Pengarah JKR Sabah, Datuk Ir Philemon Lajawai berkata, pihaknya memahami sepenuhnya keluhan rakyat yang mahukan laluan jalan raya yang selesa dan selamat, khususnya di kawasan pedalaman dan laluan utama yang menjadi nadi perhubungan harian penduduk.

"JKR Sabah memandang serius isu yang tular melibatkan laluan Kinabatangan dan keselamatan pengguna jalan raya. 

"Justeru, beberapa langkah telah dan sedang dilaksanakan melibatkan Jalan Sandakan ke Kinabatangan. Kerja-kerja pembaikan sementara secara 'heavy patching' telah dijalankan bagi menutup lubang serta kerosakan teruk di laluan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di bawah Projek LPB bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di bawah Projek LPB bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Menurutnya, kerja pembaikan itu dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Pakej Kerja WP25 dan WP26 sebagai langkah segera bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Setakat ini, kerja pembaikan dari bulatan Sukau hingga ke Kampung Jaya Baru telah siap dilaksanakan, manakala kerja di lokasi-lokasi seterusnya sedang giat dijalankan," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi penyelesaian jangka panjang, laluan tersebut akan dinaik taraf sepenuhnya melalui pembinaan jalan baharu di bawah Projek LPB yang disifatkan sebagai langkah lebih kekal dan mampan untuk menangani masalah kerosakan berulang.

Artikel Berkaitan:

Isu keadaan jalan di Kinabatangan menjadi perhatian ramai selepas Sinar Harian menyiarkan laporan khas dua muka surat pada Khamis yang bertajuk ‘Jalan ke bulan, lubang sebesar perigi’, memaparkan keadaan permukaan jalan yang rosak teruk, berlubang dan menggerutu serta mendatangkan bahaya kepada pengguna.

Laporan tersebut turut mencetuskan reaksi orang ramai di media sosial yang mendesak agar tindakan segera diambil demi keselamatan penduduk setempat dan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan setiap hari.

Ringkasan AI

  • Laporan khas Sinar Harian tentang jalan rosak di Kinabatangan mendapat perhatian Jabatan Kerja Raya Sabah
  • JKR Sabah telah mengambil beberapa tindakan segera dan merancang penyelesaian jangka panjang
  • Pembaikan sementara melalui 'heavy patching' sudah dilaksanakan
  • Kerja pembaikan merupakan sebahagian dari Projek Lebuhraya Pan Borneo
  • Laluan tersebut akan dinaik taraf sepenuhnya di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo sebagai solusi jangka panjang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!