Azam Baki akan bertemu Mindef bincang isu rasuah, tatakelola

PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan berjumpa dengan Kementerian Pertahanan bagi membincangkan isu rasuah serta tatakelola membabitkan kementerian itu.
Azam berkata, pertemuan berkenaan susulan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khalid Nordin yang menyatakan komitmen untuk membersihkan sebarang isu rasuah dan kelemahan tatakelola di Kementerian Pertahanan.
"SPRM menyambut baik pendirian tersebut dan bersedia bekerjasama dengan kementerian berkenaan berdasarkan peruntukan Seksyen 7C Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memberi kuasa kepada SPRM untuk menasihati serta menjalankan kajian berkaitan kelemahan tatakelola dalam mana-mana organisasi," katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Khamis.
Azam menjelaskan, kunjungan hormat itu akan melibatkan pertemuan bersama Menteri Pertahanan dan Ketua Setiausaha kementerian itu bagi membincangkan beberapa perkara utama, termasuk isu-isu yang sedang dalam siasatan SPRM ketika ini.
"Selain itu, perbincangan turut menjurus kepada hala tuju dan langkah pembersihan dalam Angkatan Tentera Malaysia, khususnya berdasarkan hasil siasatan serta maklumat yang telah dikumpulkan SPRM sebelum ini," katanya.
Azam berkata, fokus SPRM adalah terhadap isu rasuah, tatakelola serta penambahbaikan sistem di Kementerian Pertahanan, terutama membabitkan urusan perolehan dan perkara berkaitan yang berada di bawah bidang kuasa suruhanjaya itu.
"Isu dalaman kementerian yang tidak melibatkan rasuah boleh ditangani oleh pihak kementerian sendiri, manakala SPRM akan menumpukan kepada tanggungjawabnya membantu kerajaan membetulkan sebarang kelemahan atau kesilapan yang dikenal pasti," katanya.
Katanya, kunjungan berkenaan bukan sekadar bersifat protokol, sebaliknya merupakan sebahagian daripada peranan SPRM dalam memastikan integriti serta tadbir urus yang baik diperkukuh dalam agensi kerajaan.
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya SPRM akan berjumpa dengan Kementerian Pertahanan untuk membincangkan isu rasuah
- Pertemuan itu susulan komitmen Menteri Pertahanan membersihkan isu rasuah dan tatakelola di kementeriannya
- SPRM bersedia bekerjasama berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
- Pertemuan akan melibatkan pembincangan isu yang sedang disiasat SPRM dan langkah pembersihan dalam Angkatan Tentera Malaysia
- Fokus SPRM adalah terhadap isu rasuah, tatakelola, dan penambahbaikan sistem di Kementerian Pertahanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
