Kerjasama bukan lesen gadai prinsip UMNO - Nurul Amal

KUALA LUMPUR - Kerjasama dan gabungan kuasa politik dibenarkan berlaku tetapi maruah, prinsip serta hala tuju UMNO tidak boleh dikompromi sama sekali, tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Beliau berpendapat, parti mesti jelas tentang identiti dan perjuangan sebelum menyertai mana-mana kerjasama politik.
Menurutnya, kerjasama bukan lesen untuk menggadaikan prinsip, menghilangkan identiti atau berdiam diri apabila suara perlu didengari.
“Kita tidak boleh masuk ke dalam mana-mana kerjasama politik tanpa arah yang jelas, pendirian tegas atau strategi tuntas.
”Apa yang penting adalah ‘survival’ UMNO! Bila kita stabil dan mapan, rakyat juga yakin kita boleh ke depan!
”Puteri UMNO mahu parti berada dalam kerjasama sebagai rakan yang relevan, dihormati, membawa nilai, solusi serta kebaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Tun Razak 4 Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Nurul Amal menegaskan, sebarang keputusan politik perlu dibuat berasaskan kajian menyeluruh bukan emosi atau kehendak pihak tertentu.
Pada hemat beliau, UMNO ditubuhkan bukan semata-mata kerana kuasa tetapi untuk memikul amanah besar dalam menjaga maruah Melayu dan kestabilan negara.
Jelasnya lagi, asas perjuangan berpaksikan kepada satu perkara yang tidak boleh diganggu gugat iaitu kepercayaan rakyat.
“Adakah kita ingin menjadi penyebab huru-hara politik negara?
“Tanpa kepercayaan, UMNO hilang kewibawaan untuk berdiri sebagai entiti yang mempertahankan kepentingan Melayu. Melayu dan UMNO bagai dakwat dan kertas. Satu simbiosis yang akrab serta jelas.
“Justeru, tanggungjawab kita hari ini bukan sekadar mengingati sejarah penubuhan UMNO, tetapi memastikan roh perjuangan terus hidup melalui kejujuran kepimpinan, keikhlasan membetulkan kesilapan dan kesungguhan memulihkan keyakinan rakyat,” ujarnya lagi.
Nurul Amal selaku ‘Along’ bagi Puteri UMNO turut memohon agar kepimpinan menilai dengan teliti implikasi untuk kekal bersama atau sebaliknya, berasaskan matlamat penubuhan parti demi menjamin kestabilan politik dan negara.
Ringkasan AI
- Kerjasama politik dibenarkan selagi tidak menggadaikan maruah dan prinsip UMNO menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi
- Parti harus jelas tentang identiti dan tujuan sebelum memasuki kerjasama politik
- Kerjasama politik bukan bermakna boleh menghilangkan identiti atau berdiam diri dalam isu penting
- Keputusan politik harus berasaskan kajian menyeluruh, bukan emosi atau kehendak pihak tertentu
- Nurul Amal menekankan pentingnya kepercayaan rakyat terhadap UMNO dalam menjaga maruah Melayu dan kestabilan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
