Tiga rentung dalam kebakaran empat kilang di Olak Lempit

BANTING - Tiga individu ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan empat kilang di Kawasan Perindustrian, Kampung Olak Lempit di sini pada malam Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, semua mangsa ditemui di kilang iaitu sebuah gudang memproses minyak yang terbakar 100 peratus.
"Pasukan bomba menemukan tiga mangsa itu ketika operasi memasuki peringkat ‘overhaul’ sekitar jam 2.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahmad Mukhlis memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 10.03 malam.
"Kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses minyak yang dikenal pasti sebagai bangunan kelas B dengan anggaran keluasan 200 x 150 kaki persegi dan ketika itu api sedang marak dengan tahap kebakaran dianggarkan 80 peratus.
"Operasi pemadaman dijalankan secara defensif berikutan berlaku beberapa letupan di dalam kilang terbabit," jelas beliau.
Menurutnya, pasukan bomba turut melaksanakan kerja-kerja ‘firebreak’ bagi menghalang api daripada merebak ke kilang bersebelahan.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran itu turut merebak membabitkan tiga lagi kilang sebelum berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 1.15 pagi.
Beliau berkata, kebakaran itu turut memusnahkan sepenuhnya kilang polimer, manakala kilang minyak terpakai terbakar kira-kira lima peratus dan sebuah lagi kilang yang belum dikenal pasti terbakar satu peratus.
Menurutnya, seramai 69 anggota bomba membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan bantuan beberapa balai lain termasuk KLIA, Dengkil, Cyberjaya, Bangi, Petaling Jaya, Presint 7 Putrajaya serta Nilai, Negeri Sembilan dikerahkan ke lokasi.
"Sebanyak empat jentera FRT, dua jentera tangki air, tiga EMRS, satu ALP selain bantuan jentera dari JBPM Putrajaya dan Negeri Sembilan digunakan dalam operasi pemadaman,” katanya.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi bagi membantu operasi serta pengurusan keselamatan.
"Punca kebakaran dan identiti mangsa masih dalam siasatan," tambah beliau.
Ringkasan AI
- Tiga individu ditemukan rentung dalam kebakaran empat kilang di Kawasan Perindustrian, Kampung Olak Lempit, Banting pada malam Rabu
- Kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses minyak yang terbakar 100 peratus
- Pasukan bomba menemukan mangsa ketika operasi memasuki peringkat 'overhaul' sekitar jam 2.30 pagi
- Operasi pemadaman kebakaran dijalankan secara defensif dengan melaksanakan kerja-kerja 'firebreak'
- Seramai 69 anggota bomba dikerahkan dan punca kebakaran serta identiti mangsa masih dalam siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

