Amanat di bilik persalinan pacu kemenangan JDT

Pemain gantian, Stuart Wilkins (kiri) mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan Kuching City FC. Foto: Johor Southern Tigers
Pemain gantian, Stuart Wilkins (kiri) mempamerkan aksi cemerlang ketika menewaskan Kuching City FC. Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mendedahkan bahawa amanat yang diberikannya kepada kesebelasan pemain di bilik persalinan telah berjaya membantu kemenangan skuad kendaliannya itu ketika berdepan Kuching City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.

Menurutnya, biarpun skuad Harimau Selatan itu ketinggalan 0-1, mesej utama yang disampaikan kepada pemain di bilik persalinan adalah untuk kekal lebih kuat dari segi mental, tidak hilang fokus, selain mengekalkan tenaga, karakter dan kuasa permainan yang sama sebagaimana yang dirancang lebih awal.

“Ketika di bilik persalinan, saya beritahu mereka untuk terus ‘switch on’, buat keputusan yang lebih baik dan kekal lebih kuat.

“Ini kerana mereka perlu terus bermain dengan tenaga yang sama, karakter yang sama dan kuasa yang sama, walaupun berdepan beberapa detik sukar kelak.

“Barisan pemain juga diingatkan agar tidak mudah kecewa serta mampu mengawal emosi dalam situasi tertentu sepanjang perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, JDT menang 2-1 hasil jaringan Nacho Méndez pada minit ke-58 dan Bergson Da Silva pada minit ke-64.

Pada perlawanan itu, JDT terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan daripada Scott Woods pada minit ke-40, namun Nacho Méndez menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-58 diikuti Bergson Da Silva pada minit ke-64 bagi mengesahkan kemenangan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus gah mendominasi carta Liga Super dengan 45 mata, sementara Kuching City FC mengutip 28 mata hasil lapan kemenangan, empat kali seri dan dua kekalahan selepas mengharungi 14 perlawanan.

Sementara itu, Munoz melahirkan rasa gembira dengan usaha pengurusan JDT yang sentiasa mahu meningkatkan kualiti pasukan.

Katanya, antara langkah yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan skuad Harimau Selatan adalah membawa masuk pemain baharu.

“Itulah kekuatan JDT. Kami ada skuad yang baik dan ramai pemain yang berkualiti.

“Bagi saya, kesemua pemain baharu mempunyai kualiti masing-masing dan mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan.

“Malah, pemain yang masuk dari bangku simpanan juga memberikan satu ekstra (nilai tambah) kepada pasukan,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • Pengendali JDT, Xisco Munoz, mendedahkan amanat kepada pemain di bilik persalinan membantu kemenangan ketika berdepan Kuching City FC
  • Amanat tersebut menyuruh pemain kekal kuat secara mental, tidak hilang fokus dan mengekalkan tenaga serta karakter permainan
  • JDT menang 2-1 dengan jaringan daripada Nacho Méndez dan Bergson Da Silva
  • Kemenangan mengukuhkan kedudukan JDT di puncak carta Liga Super dengan 45 mata
  • Munoz mengakui kekuatan JDT ada pada skuad berkualiti dan pengurusan yang ingin meningkatkan kualiti pasukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!