ACLE: Munoz tuntut karakter positif JDT

KESEBELASAN Johor Darul Ta'zim (JDT) dituntut mempamerkan karakter positif sepanjang perlawanan dalam usaha memastikan kemenangan pada aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) berdepan wakil China, Shanghai Port FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
Menurut pengendali JDT, Xisco Munoz, aksi berdepan Shanghai Port FC dianggap penting dan dilihat ibarat misi hidup dan mati buat skuad Harimau Selatan dalam saingan ACLE kali ini.
"Sebaik perlawanan bermula, kami harus tampil dengan karakter lebih bertenaga dengan intensiti yang tinggi. Malah kami perlu membuktikan betapa JDT bukanlah pasukan mudah ditewaskan.
"Ia perlawanan penting buat kami dan akan memperincikan apa jua kelemahan bagi memastikan pemain tidak melakukan sebarang kesilapan kerana boleh mengubah permainan sekelip mata.
"Apa pun memang agak menyedihkan kerana kami masih lagi tidak dapat menggunakan khidmat Arif (Aiman Hanapi) yang belum pulih sepenuhnya dan kami akan berusaha menghasilkan kemenangan kali ini sebagai 'hadiah' kepadanya," ujar pengendali kelahiran Sepanyol itu.
Tambah Munoz, peledak berbisa JDT, Bergson Da Silva hampir pasti diturunkan bagi menambah sengat jentera serangan pasukan.
Katanya, Bergson yang tidak diturunkan ketika berdepan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) pada 4 Disember lalu bakal kembali beraksi bagi memburu jaringan buat pasukan.
"Dalam masa sama, kita juga berharap arkitek tengah JDT, Ager Aketxe akan turun menjalani latihan selepas mengalami kecederaan dalam tempoh yang agak lama.
"Kedua-duanya dilihat telah bersedia beraksi dalam kesebelasan utama namun semuanya bergantung kepada latihan rasmi malam ini (Isnin)," katanya.
Sementara itu, pemain pertahanan skuad Harimau Selatan, Shane Lowry berazam memberikan aksi terbaik berdepan Shanghai Port FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Australia itu menegaskan, setiap pemain perlu memberikan fokus supaya mencapai tahap maksimum kerana tiga mata amat penting bagi memastikan JDT kekal dalam kelompok lapan terbaik saingan Zon Timur.
"Berbekalkan rekod yang baik beraksi di gelanggang sendiri, semestinya kami mahu meneruskan momentum itu. Apa yang diutamakan ialah mengekalkan intensiti permainan yang konsisten.
"Malah kehadiran penyokong juga penting kerana ia akan menaikkan motivasi kami beraksi di padang.
"Kita juga tidak boleh terlalu ghairah memburu kemenangan dan apa yang kami harapkan semua pemain sudah bersedia," katanya.
Ringkasan AI
- KESEBELASAN Johor Darul Ta'zim (JDT) dituntut bermain dengan karakter positif dalam pertandingan Liga Juara-Juara AFC Elite berdepan Shanghai Port FC
- Pengendali JDT, Xisco Munoz menyifatkan perlawanan itu sebagai sangat penting, ibarat misi hidup dan mati
- Arif Aiman Hanapi tidak dapat bermain kerana belum pulih sepenuhnya, namun kemenangan diharapkan sebagai 'hadiah' untuknya
- Bergson Da Silva, peledak berbisa JDT hampir pasti diturunkan untuk menambah sengat serangan pasukan
- Setiap pemain perlu memberi fokus untuk mencapai tahap maksimum kerana tiga mata penting untuk kekal dalam kelompok lapan terbaik saingan Zon Timur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
