KBS: Pembangunan sukan, fasiliti tanggungjawab bersama Persekutuan dan negeri

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa sukan tersenarai dalam senarai bersama Perlembagaan Persekutuan, justeru tanggungjawab pembangunan sukan serta fasiliti perlu dipikul secara bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Kenyataan KBS dikeluarkan sebagai respons kepada gesaan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) supaya kementerian campur tangan menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang didakwa berada pada tahap kritikal.
Menurut KBS, Velodrom Rakyat dibina pada 1989 di atas tanah milik kerajaan negeri dan merupakan hak Kerajaan Perak di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Semasa penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada 2018, Kerajaan Persekutuan melalui KBS telah memperuntukkan dana sebanyak RM12.7 juta untuk menaik taraf fasiliti ini selari dengan tanggungjawab bersama memajukan sukan negara,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
KBS berharap kerajaan negeri dan PKBM turut memainkan peranan dalam penyenggaraan fasiliti berkenaan supaya dapat dimanfaatkan oleh atlet dan rakyat khususnya di Perak.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill sebelum ini menggesa campur tangan segera KBS bagi menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang kini dikatakan berisiko membahayakan pengguna.
Beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap kerenah birokrasi dan budaya saling menuding jari yang menyebabkan fasiliti ikonik itu terbiar tanpa sebarang aktiviti perlumbaan atau latihan sejak lebih setahun lalu.
Amarjit berkata, ketiadaan bumbung dikenal pasti sebagai punca utama kerosakan berulang pada permukaan trek kayu yang terdedah kepada hujan dan panas, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada pelumba. - Bernama
Ringkasan AI
- KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menganggap sukan dan pembangunan fasilitinya sebagai tanggungjawab bersama kerajaan Persekutuan dan negeri
- Respons KBS terhadap keadaan kritikal Velodrom Rakyat di Ipoh setelah PKBM meminta campur tangan
- Velodrom Rakyat, milik Kerajaan Perak, dibina pada 1989 di atas tanah kerajaan negeri
- KBS telah memperuntukkan RM12.7 juta untuk menaik taraf Velodrom Rakyat semasa SUKMA Perak 2018
- Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, menggesa KBS bertindak menyelamatkan Velodrom Rakyat yang terbiar dan berisiko bahaya akibat ketiadaan bumbung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

