54 jam terperangkap dalam telaga bersama ular

Qin terjatuh dan terperangkap dalam telaga hampir 54 jam sebelum diselamatkan. Foto Agensi
Qin terjatuh dan terperangkap dalam telaga hampir 54 jam sebelum diselamatkan. Foto Agensi
A
A
A

QUANZHOU – Seorang wanita dari tenggara China nyaris maut selepas terjatuh ke dalam sebuah telaga lama selama hampir 54 jam dan dikelilingi ular air.

Kejadian berlaku pada 13 September lalu apabila wanita berusia 48 tahun, dikenali sebagai Qin, sedang berjalan-jalan di hutan Quanzhou, wilayah Fujian, sebelum tiba-tiba terjatuh ke dalam telaga.

Keluarganya menyedari kehilangannya pada 14 September, namun usaha pencarian awal menemui kegagalan.

Pada 15 September, anak lelakinya menghubungi Pusat Penyelamat Kecemasan Jinjiang Ruitong Blue Sky untuk meneruskan usaha mencari ibunya.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada 10 anggota, dilengkapi dron pengimejan terma, memulakan operasi pencarian secara menyeluruh.

Pasukan penyelamat menarik Qin keluar dari telaga di hutan Quanzhou, wilayah Fujian. Foto Agensi
Pasukan penyelamat menarik Qin keluar dari telaga di hutan Quanzhou, wilayah Fujian. Foto Agensi

Menurut ketua pasukan itu, Du Xiaohang, mereka terdengar suara panggilan lemah kira-kira jam 1.45 tengah hari (waktu tempatan).

Mereka kemudian mengikuti suara itu dan akhirnya menemui sebuah telaga dalam yang tertutup dengan semak.

Artikel Berkaitan:

Selepas membersihkan semak di mulut telaga, mereka menjumpai Qin berada di dalam air, jari pucatnya menggenggam erat retakan licin dinding telaga tersebut.

Qin mendedahkan bahawa dia bernasib baik kerana tahu berenang dan berjaya terapung dengan memegang batu yang tertanam di dinding telaga.

Namun, struktur telaga yang sempit di bahagian atas dan melebar di bawah menyukarkannya untuk memanjat keluar.

Dia menggunakan satu tangan untuk menggenggam batu, manakala tangan lain menggali tiga batu tambahan sebagai pijakan sementara, bertahan di dinding telaga lebih dua hari.

“Banyak kali saya hampir putus asa. Dasar telaga gelap gelita, dipenuhi nyamuk, malah beberapa ular air berenang berhampiran.

“Saya digigit nyamuk dan sekali oleh ular air, tetapi syukurlah tidak berbisa,” kata Qin.

Selepas diselamatkan, Qin dibawa ke Hospital Bandar Jinjiang dan kemudian dipindahkan ke Hospital Pertama Quanzhou untuk rawatan lanjut.

Doktor mengesahkan dua tulang rusuknya patah dan paru-paru sedikit membengkak, manakala tangannya cedera teruk akibat menggenggam dinding telaga.

Wanita itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan dijangka pulih sepenuhnya selepas beberapa hari dipantau doktor.

Kisah ketabahan Qin menjadi tular di media sosial China, dengan ramai warganet memuji keberanian serta keazamannya untuk bertahan dalam keadaan hidup atau mati. – Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang wanita dari tenggara China nyaris maut selepas terjatuh ke dalam telaga selama hampir 54 jam
  • Keluarganya menyedari kehilangannya dan melakukan pencarian yang pada mulanya gagal hingga bantuan dari Pusat Penyelamat Kecemasan dihubungi
  • Pasukan penyelamat dengan bantuan dron pengimejan terma menemui wanita itu setelah mendengar suara panggilannya dari telaga yang tertutup semak
  • Qin, wanita tersebut, menggunakan batu yang tertanam di dinding telaga sebagai sokongan untuk terapung dan menghindari ular air selama lebih dua hari
  • Selepas diselamatkan, Qin dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta dijangka pulih sepenuhnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!