X

Kindly register in order to view this article
!

Penjara tiga bulan kerana curi harumanis, langgar PKP

Gambar hiasan. Buah mangga harumanis
A
A

KANGAR - Tindakan seorang pesawah dan seorang penganggur mencuri buah mangga harumanis dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah apabila mereka dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Kamaliza Md Zain menjatuhkan hukuman itu ke atas Saiful Hizam Abdul Latif, 47, dan Noor Shabuddin Saidin, 24, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Kamaliza menjatuhkan hukuman penjara sebulan bagi pertuduhan mencuri manakala penjara dua bulan bagi kesalahan mengingkari PKP dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai tarikh mereka ditangkap pada 26 Mac lepas.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa secara bersama-sama mencuri 18 biji buah mangga harumanis di kawasan kebun harumanis di Jalan Guar Nangka, Kampung Cikgu Ali, Mata Ayer di sini pada jam 9.30 pagi, 25 Mac lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu (pemilik kebun) meronda kawasan kebunnya pada 25 Mac, beliau melihat kedua-dua lelaki itu sedang mencuri buah mangga harumanis dan menyedari kehadirannya, mereka berdua terus melarikan diri dengan sebuah kereta.

Kedua-dua lelaki itu berjaya ditangkap polis keesokkannya, mereka mengaku mencuri buah itu dan telah menjualnya di sebuah gerai buah di sini.

Bagi pertuduhan kedua Saiful Hizam dan Noor Shabuddin didakwa gagal mematuhi tempoh PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, dalam mana-mana tempat jangkitan di negeri ini pada jam 9.30 pagi 25 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan denda RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-keduanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhada Mohd Yatim memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kerajaan melaksanakan PKP bagi memutuskan rangkaian penularan Covid-19 dan supaya hukuman dapat memberi pengajaran kepada orang ramai agar patuh kepada arahan kerajaan dalam membendung wabak itu.

Peguam Zuhair Ahmad Zakuan yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman minimum kerana Saiful Hizam menanggung isteri dan seorang anak manakala Noor Shabuddin tidak bekerja. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!