PDRM guna dron pantau PKPD Sungai Lui

Suasana Batu 21 Sungai Lui pada PKPD ketika tinjauan Sinar Harian hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Suasana Batu 21 Sungai Lui pada PKPD ketika tinjauan Sinar Harian hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

HULU LANGAT - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan teknologi dron bagi memantau kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, di sini hari ini, yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, penggunaan dron itu adalah cara paling selamat untuk melakukan pemantauan lebih dekat di kawasan itu.

"Kita sudah menerbangkan dron untuk memantau secara menyeluruh di kawasan berkenaan bagi membantu penugasan agensi berkenaan," katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya di Batu 21 Sungai Lui hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid berkata, Dewan Serbaguna Sungai Lui dijadikan sebagai lokasi bilik gerakan dan tempat penyimpanan barangan asas untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan itu.

"Kita juga akan memberi taklimat dengan agensi lain sejurus mereka tiba ke lokasi ini," katanya.

Menurutnya, keadaan di lokasi terkawal dengan menempatkan lebih 50 anggota PDRM.

Jelasnya, penduduk juga memberi kerjasama kerana mereka tahu apa yang dilakukan pihak berkuasa adalah demi kebaikan dan keselamatan masing-masing.

Kerajaan telah menguatkuasakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, di sini, mulai tengah malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Ia melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan orang asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah yang berkuat kuasa mulai tengah malam 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah.

Dalam kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan arahan PKPD dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan ada 71 kes positif jangkitan koronavirus (Covid-19) daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, di sini.

Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di sekolah itu, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan.