Tiga lelaki termasuk warga Myanmar dituduh ingkar PKP

Warga Myanmar, Zaw Win tiba di Mahkamah Majistret Batu Gajah untuk didakwa atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.
Warga Myanmar, Zaw Win tiba di Mahkamah Majistret Batu Gajah untuk didakwa atas pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.
A
A
A

BATU GAJAH - Tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini atas pertuduhan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang tugas penjawat awam.

Dua tertuduh mengaku bersalah, manakala tiada pengakuan direkodkan daripada warga asing tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nazratul Natrah Mohd Yusuf.

Tertuduh pertama, Abdul Wahab Mohamad Sheriff, 34, mengaku salah tidak mematuhi perintah dengan membuka pondok jualan arak todi sepanjang tempoh PKP.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di pondok berhampiran DKT Pusing Enterprise, Pusing di sini, sekitar jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Mahkamah mengenakan denda berjumlah RM5,000 dan boleh dipenjarakan lapan bulan jika gagal melunaskan denda tersebut.

Tertuduh kedua, Azrul Isham Ali, 38, didakwa bergerak dari Kampung Piandang, Siputeh, Pusing ke tepi jalan utama Kampung Pisang - Bemban, di sini, di dalam mana-mana kawasan tempat jangkitan pada jam 3.40 petang, Jumaat lalu.

Dia didenda RM1,000 selepas disabitkan kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah D dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Azrul Isham yang juga seorang duda turut mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memiliki dadah jenis methamphetamine (anggaran berat 0.92 gram) di lokasi dan tarikh yang sama.

Artikel Berkaitan:

Azrul Isham didakwa ingkar perintah PKP dan turut memiliki dadah telah dituduh di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini.
Azrul Isham didakwa ingkar perintah PKP dan turut memiliki dadah telah dituduh di Mahkamah Majistret Batu Gajah, hari ini.

Bagi pertuduhan itu, mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dan kes disebut semula pada 14 Mei bagi mendapatkan laporan kimia.

Tertuduh ketiga, Than Zaw Win, 30, didakwa sengaja menghalang mana-mana penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya di tingkat bawah bangunan asrama, Persiaran Pusat Dialisis Bemban di sini, pada jam 10.20 malam, kelmarin.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan warga Myanmar tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa dan tiada jaminan diberikan.

Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib, manakala dua tertuduh warga tempatan diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Parveen Sharma Krishnan.