Dua stesen kuarantin dibuka di Perak: MB

Ahmad Faizal menyampaikan Perutusan Khas berkaitan bantuan dan sumbangan kerajaan negeri dalam berhadapan Covid-19.
Ahmad Faizal menyampaikan Perutusan Khas berkaitan bantuan dan sumbangan kerajaan negeri dalam berhadapan Covid-19.
A
A
A

IPOH - Dua Stesen Kuarantin dibuka di Perak bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Stesen Kuarantin tersebut ialah di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan dan Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di Sungkai.

Menurutnya, sebanyak RM651,000 diperuntukkan bagi pembelian pelbagai kelengkapan dan peralatan serta makan minum di kedua-dua Stesen Kuarantin tersebut.

"Kerajaan negeri komited membantu Jabatan Kesihatan Perak dalam usaha memutuskan rantaian penyebaran virus Covid-19 ini. Oleh itu, kerajaan negeri telah membuka dua Stesen Kuarantin.

"Stesen-stesen ini mampu menampung sehingga 240 individu," katanya dalam satu Perutusan Khas diumumkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebooknya memaklumkan mengenai pembukaan Stesen Kuarantin di ILSM, Sungkai bagi menempatkan kontak rapat Covid-19 di daerah Hilir Perak bertujuan mengasingkan individu berisiko dijangkiti atau menjangkiti individu yang lain.

[Artikel berkaitan] - Kontak rapat Covid-19 ditempatkan di Stesen Kuarantin ILSM Sungkai

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri memahami kesukaran dan bebanan kakitangan kesihatan serta petugas-petugas berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi menghargai jasa mereka kerajaan negeri mengumumkan bantuan-bantuan khas untuk mereka yang berada di barisan hadapan dalam menangani penularan Covid-19.

Beliau berkata, bantuan makanan dan keperluan telah mula disalurkan untuk 7,150 petugas bukan sahaja kepada Jabatan Kesihatan Negeri tetapi turut diberikan kepada anggota polis, tentera, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kos hampir RM 2.5 juta.

"Bagi menghargai usaha dan pengorbanan serta kepayahan para pekerja am yang juga merupakan barisan hadapan, pengutip sampah, pemotong rumput, begitu juga dengan pegawai penguat kuasa yang terpaksa meneruskan khidmat di waktu yang sukar ini.

"Kerajaan Negeri Perak ingin memberi bantuan sebanyak RM300 seorang yang akan dibayar tiga kali melibatkan peruntukan sebanyak RM780,000. Perkara ini memberi manfaat kepada 2,600 wira yang tidak didendang.

"Bagi menghargai usaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang meneruskan khidmat bagi membantu golongan yang memerlukan, kerajaan negeri menyediakan Bantuan Elaun Khas sebanyak RM500 seorang kepada 986 Pengerusi MPKK dengan peruntukan berjumlah RM493,000," katanya.

Beliau berkata, pemberian sumbangan itu membuktikan kerajaan tidak berpolitik dalam situasi krisis yang mendesak sebegini sebaliknya mengutamakan kepentingan rakyat.