UMNO buat orang Melayu kecil hati - Ahmad Faizal

Ahmad Faizal.
Ahmad Faizal.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bukan hanya faktor kerjasama antara kedua-dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebaliknya kata Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi tindakan UMNO yang mengguris hati orang Melayu dengan menjalinkan hubungan dengan DAP di dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan turut mendorong PN menjadi pilihan kaum Bumiputera terbesar itu.

"UMNO buat orang Melayu kecil hati," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik pembentukan kerjasama BN dan PH serta UMNO dan DAP, ramai penyokong tradisi UMNO dan BN telah beralih arah.

"Alternatif yang mereka ada hanyalah PN dan kita yakin jadi pengganti kepada apa yang pernah UMNO buat suatu ketika dulu," ujar beliau.

Ahmad Faizal berkata, sentimen ketika ini terutamanya orang Melayu terarah kepada PN.

"Jadi saya fikir Tun M juga sebagai seorang yang sudah bebas dari menganggotai mana-mana parti, nampak lebih cenderung memberi sokongan kepada calon PN.

"Itu yang saya nampak tetapi saya tidak boleh baca hati atau pemikiran Tun M," katanya.

Jelas Ahmad Faizal, Dr Mahathir dan Muhyiddin senada dalam memperjuangkan bangsa Melayu yang dihadapi pada masa kini.

"Mereka mengangkat kekangan biasiswa, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan yang tak berapa terbuka untuk orang Melayu, kos sara hidup serta kedudukan ekonomi negara.

"Saya fikir isu-isu tersebut patut diberi keutamaan untuk diselesaikan oleh semua orang," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai penetapan tarikh untuk pertemuan antara Dr Mahathir dan Muhyiddin, Ahmad Faizal berkata, ia diluar pengetahuannya.

"Tidak ada tarikh. Saya tidak tahu pertemuan dan ia adalah di antara mereka," katanya lagi.

Pada Rabu, Dr Mahathir menjelaskan beliau akan bertemu Muhyiddin yang juga dengan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN tidak lama lagi.

Beliau sebelum ini dilapor sedia kembali bekerjasama dengan Muhyiddin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Ia kemudiannya disambut Muhyiddin pada Jumaat lalu, yang turut menyatakan kesediaan menerima pelawaan negarawan itu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri dijangka akan dibubarkan serentak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada Julai depan.