‘Kedudukan saya dalam parti, kerajaan diumum pada PAU 2025’ - Dr Akmal

 Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM – Status berhubung kedudukan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam parti dan kerajaan akan diumumkan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Dr Muhamad Akmal memaklumkan bahawa pengumuman tersebut akan dibuat selepas beliau membawa suara akar umbi parti yang telah dikumpulkan menerusi cawangan dan bahagian ke perhimpunan tahunan itu.

Menurutnya, sebelum ini beliau telah menyuarakan pandangan rakyat semasa Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada 3 Januari lalu, dengan mendengar secara langsung keluhan dan aspirasi orang awam. Komitmen tersebut, katanya, akan diteruskan dalam PAU kali ini.

“Kita sudah bersuara di konvensyen dengan mendengar suara orang awam.

“Insya-ALLAH, kita teruskan bersuara di PAU pula, membawa suara akar umbi parti melalui cawangan dan bahagian.

“Insya-ALLAH, kedudukan saya dalam parti dan kerajaan juga akan saya umumkan dalam PAU minggu hadapan. Siapalah kita tanpa rakyat yang mengangkat kita pada hari ini,” katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa Dr Muhamad Akmal menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Menurut sumber yang rapat dengan UMNO, beliau dilaporkan memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin sayap Pemuda menerusi pesanan ringkas di aplikasi WhatsApp pada Khamis.

Dr Muhamad Akmal turut mengingatkan kepimpinan parti agar tidak takut menyuarakan pandangan yang benar, sambil menegaskan bahawa kepimpinan bukanlah sesuatu yang didorong oleh jawatan atau pangkat semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Demi penyatuan agama dan bangsa kita. Jangan pernah takut untuk bercakap mengenai perkara yang betul.

“Bukan kerana jawatan dan pangkat kita menjadi pemimpin, tetapi kerana rakyat di bawah,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Status kedudukan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan diumumkan di PAU 2025
  • Dr Muhamad Akmal akan membawa suara akar umbi ke perhimpunan
  • Beliau telah menyuarakan pandangan rakyat dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO
  • Dr Muhamad Akmal pernah menyatakan hasrat melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO
  • Pimpinan parti diingatkan untuk menyuarakan pandangan yang betul tanpa takut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!