Cuba sogok polis RM100, warga Bangladesh dipenjara dua bulan

Tertuduh dibawa pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu.
Tertuduh dibawa pegawai SPRM keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Perbuatan seorang pekebun sayur warga Bangladesh menawarkan sogokan RM100 kepada anggota polis sebagai balasan tidak mengambil tindakan selepas ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen mengheretnya ke penjara.

Mobarok Islam, 27, dihukum penjara selama dua bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Sazlina dalam keputusannya mengarahkan hukuman penjara ke atas tertuduh bermula pada tarikh dia disabitkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mobarak didakwa menawarkan suapan kepada anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Brinchang, Cameron Highlands. Pahang bagi mengelak dikenakan tindakan kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan besar berhadapan sebuah stor sayur kira-kira jam 8.20 malam pada 6 Disember tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu dalam rayuannya, Mobarok dibantu jurubahasa memohon hukuman ringan dengan alasan dia baru sahaja berkahwin dan tidak mempunyai ahli keluarga yang tinggal di negara ini.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada orang awam supaya tidak cuba merasuah penjawat awam bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.

Mengikut fakta kes, Mobarok yang menunggang motosikal seorang diri telah ditahan anggota URB di tepi jalan di Jalan Brinchang–Kampung Raja untuk pemeriksaan rutin.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh menunjukkan cetakan visa elektronik atas namanya yang masih sah selepas diminta mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Bagaimanapun dia gagal menunjukkan lesen memandu kerana tidak memilikinya.

Semasa anggota polis sedang menulis surat saman, tertuduh minta kes itu diselesaikan di situ sambil menghulurkan wang tunai RM100.

Anggota terbabit memberi amaran tiga kali bagaimanapun dia terus berdegil sehingga membawa kepada penahanannya kerana cubaan memberi rasuah.

 

Ringkasan AI

  • Pekebun sayur warga Bangladesh dihukum dua bulan penjara kerana cuba sogok polis RM100 untuk mengelak tindakan kerana menunggang motosikal tanpa lesen
  • Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan di hadapan Hakim Sazlina Safie
  • Mobarak Islam, 27, didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara atau denda
  • Dia ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotor Polis di Cameron Highlands selepas gagal menunjukkan lesen memandu
  • Terdapat cubaan merayu untuk hukuman ringan dengan alasan baru berkahwin dan tiada ahli keluarga di Malaysia, tetapi mahkamah mencari perlu ada hukuman pencegahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!