X

Kindly register in order to view this article
!

Sayur Cameron dijual di Lazada

Lebih 500 tan metrik sayur Cameron Highlands tidak laku kerana tidak dapat dipasarkan sedangkan sayuran perlu dituai di ladang.
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Nasib lebih 2,300 pekebun sayur Cameron Highlands yang terjejas teruk sehingga mengalami kerugian RM1 juta sehari berikutan penularan wabak Covid-19 mendapat perhatian platform e-dagang terkenal, Lazada Malaysia.

Menurut jurucakap Lazada, berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Lazada berhasrat membantu bisnes pertanian tempatan dan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan cabaran kewangan dengan membawa bisnes mereka ke dalam talian sejak hujung minggu lalu.

“Sebagai perkhidmatan penting yang diwartakan, Lazada Malaysia terus berusaha mengekalkan operasi normal dan perkhidmatan logistik bagi menyokong keperluan komuniti dengan menyediakan akses kepada keperluan harian dan barangan runcit.

“Dengan memanfaatkan platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara, PKS, pekebun dan nelayan yang terkesan mampu untuk mengekalkan sumber pendapatan mereka tanpa perlu bimbang tentang sewa dan overhead utiliti termasuk keperluan tenaga kerja untuk penghantaran.

Platform e-dagang Lazada bakal membantu memasarkan produk sayur-sayuran pekebun Cameron Highlands.
Platform e-dagang Lazada bakal membantu memasarkan produk sayur-sayuran pekebun Cameron Highlands.

“Lazada Malaysia terus komited untuk menyokong bisnes pertanian ini dengan memperluaskan capaian pasaran ke seluruh negara dan pada masa sama terus memenuhi keperluan harian rakyat Malaysia dengan menghantar keperluan harian terus ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, rakyat Malaysia semakin bergantung kepada platform atas talian seperti Lazada sebagai destinasi sehenti untuk barangan runcit dan keperluan seperti beras, sayur-sayuran, daging, makanan laut, minyak, rempah dan susu.

“Pada hari ini, Lazada telah menyokong usahawan pertanian seperti pekebun Cameron Highlands, MyMarket dan Myfishman di platformnya bagi menawarkan kemampuan logistik sepenuhnya dari ladang kepada pengguna,” katanya.

Semalam, Sinar Ahad menerusi laporan khas Rintihan Dari Tanah Tinggi melaporkan sektor pertanian dan pelancongan di Cameron Highlands yang bernilai RM1.4 bilion setahun terancam angkara Covid-19.

Pekebun-pekebun sayur di tanah tinggi itu mengalami kerugian berjumlah RM1 juta sehari berikutan tidak dapat memasarkan hasil tani mereka, sementara pekebun bunga setakat ini sudah kerugian RM11 juta.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di laman web e-dagang itu mendapati setakat ini Lazada masih dalam proses mengemas kini segmen sayur-sayuran dari Cameron Highlands.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus