[VIDEO] 'Empat hari tunggu, akhirnya jasad abang pulang'

BATU PAHAT - Selepas empat hari berkampung di Jeti Sungai Tongkang Rengit di sini, Nur Syazwani Ahmad, 34, meluahkan rasa syukur apabila doanya termakbul selepas jasad abang kandung ditemui pada pagi Selasa.
Mayat Mohd Saiful Azli Ahmad, 45, ditemukan seorang nelayan yang turut bersama dalam operasi mencari dan menyelamat di perairan Pantai Sarang Burung pada jam 9.16 pagi.
Allahyarham Mohd Saiful Azli merupakan seorang daripada dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas di perairan Sungai Dulang, Rengit selepas keluar memeriksa bubu udang dan memancing kira-kira 800 meter dari Jeti Sungai Tongkang pada jam 6 petang, Jumaat lalu.
Nur Syazwani berkata, sebelum jasad abang sulung daripada tiga beradik ditemui, mereka sekeluarga mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat.

"Saya bersama ibu, Khatijah Rahindi, 74 dan ahli keluarga ke jeti setiap hari. Kami berharap abang akan ditemui, walau cuma jasadnya sahaja yang pulang. Alhamdulillah, penantian kami sudah berakhir.
"Saya masih teringat detik terakhir bersama abang pada Jumaat lalu, yang mana abang sempat memasakkan juadah udang goreng untuk kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail, pada Selasa.
Bercerita lanjut, Nur Syazwani berkata, jasad abangnya masih berkeadaan elok dengan masih lengkap berpakaian.
"Wajah abang pula kelihatan cantik walaupun terlalu lama berendam dalam air.
"Terdetik dalam hati saya, apa amalan abang lakukan? Abang belum berkahwin tetapi cukup menyayangi empat orang anak saudaranya.
"Dia ada bela kucing dan membela anak saudaranya yang autisme selain pernah menjaga nenek sehingga akhir hayatnya," katanya.
Sementara itu, seorang lagi adik arwah, Nur Syaza Lina, 40, memaklumkan dia diberitahu mengenai penemuan mayat abangnya di Pantai Sarang Burung oleh pasukan penyelamat dan kemudian bergegas ke lokasi.
"Saya ke lokasi dan bila disahkan jasad itu adalah abang, saya terus duduk dan sujud syukur. Sebaik melihat jasad abang, saya menyebut 'Allahuakbar'.
"Saya diminta oleh pasukan penyelamat untuk pengesahan dan saya nampak abang masih lengkap berpakaian sambil memakai beg di pinggang. Saya tengok kad pengenalan dan telefon bimbit masih elok," ujarnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi nelayan Mohd Fadzli Mesran, 41, masih giat dilakukan pasukan penyelamat dari pelbagai agensi.
Ringkasan AI
- Selepas empat hari pencarian, mayat Mohd Saiful Azli Ahmad ditemui oleh seorang nelayan
- Nur Syazwani Ahmad meluahkan rasa syukur doanya termakbul selepas jasad abang kandungnya ditemui
- Mohd Saiful Azli hilang selepas keluar memeriksa bubu udang dan memancing
- Sebelum penemuan, keluarga mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat
- Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi nelayan, Mohd Fadzli Mesran masih berlangsung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

