Khairul Aming umum pembukaan restoran Rembayung bernilai RM4 juta

KUALA LUMPUR - Selama setahun menyimpan rahsia, usahawan dan pempengaruh media sosial terkenal, Khairul Aming (KA) mengumumkan pembukaan restoran pertamanya, Rembayung di Kampung Baru di sini.
Pengumuman dibuat sendiri KA menerusi media sosial turut mendedahkan bahawa restoran yang akan beroperasi pada Januari tahun depan itu dibina di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi dengan membabitkan kos sebanyak RM4 juta.
"Jarak 9 minit dari KLCC, kita bina restoran makanan kampung. Proses ini bermula dari awal tahun lagi sebab buat bangunan daripada kosong, jadi prosesnya mengambil masa sedikit.
"Berbekalkan rakan kongsi yang dah lama dengan industri restoran, kami bertiga berganding bahu untuk jadikan idea ini satu realiti," katanya dalam video yang dimuat naik pada Selasa.

Menurut penerima Anugerah Maulidur Rasul itu, pihaknya memilih konsep restoran semi rumah kaca yang dapat menampung seramai 250 pelanggan dalam satu masa.
"Konsep ke arah gudang ini untuk menampung orang ramai, bukan dekat Malaysia sahaja tapi untuk yang menonton dari serata dunia.
"Menggunakan elemen kayu, daun hijau dengan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa yang mana apabila melangkah masuk ke dalam restoran, ia akan beri satu pengalaman 'dine-in' lain daripada yang lain," katanya.
Khairul Aming berkata, pembukaan restorannya itu berjaya membuka peluang pekerjaan kepada 50 anak tempatan.
"Mereka semua tidak tahu bahawa restoran ini milik KA, mereka mohon, pergi temu duga dah lulus baru mereka tahu.
"Selepas 10 tahun dalam dunia dalam talian, akhirnya KA bersedia masuk ke luar talian untuk permulaan fasa 10 tahun seterusnya," katanya.
Ringkasan AI
- Khairul Aming (KA) mengumumkan pembukaan restoran pertama, Rembayung di Kampung Baru, Kuala Lumpur
- Restoran Rembayung akan mula beroperasi pada Januari tahun depan dengan kos pembinaan RM4 juta
- Lokasi restoran hanya 9 minit dari KLCC dan dibina atas tanah seluas 8,000 kaki persegi
- Konsep restoran semi rumah kaca yang boleh menampung 250 pelanggan dan menggunakan elemen kayu dan daun hijau
- Pembukaan restoran menawarkan pekerjaan kepada 50 anak tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
