Kes salah laku guru beri kesan besar kepada umum - Alimuddin

SHAH ALAM – Kontroversi salah laku guru termasuk jenayah seksual memberi kesan besar terhadap sektor pendidikan negara, meskipun hanya kes terpencil.
Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, melihat kepada kebimbangan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi fokus lebih serius terhadap permasalahan tersebut bagi mengembalikan martabat warga pendidik.
“Sejak zaman dahulu, guru merupakan golongan dipandang tinggi masyarakat kerana menyampaikan ilmu kepada anak-anak dan seterusnya menjadi contoh kerana ramai individu berjaya hari ini adalah hasil bimbingan pendidik.
“Jasa guru sangat besar. Tetapi seiring dengan perubahan zaman semakin moden, guru juga tidak terlepas daripada terpalit pelbagai isu salah laku. Sudah pasti ia memberi kesan besar kepada sektor pendidikan negara walaupun yang melakukan kesalahan sangat sedikit jika dibandingkan jumlah keseluruhan lebih 400,000 guru,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa laporan berhubung guru terbabit isu salah laku termasuk kes berkaitan seksual sehingga mendapat perhatian meluas masyarakat ketika ini.
Mengulas lanjut, Alimuddin yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan berkata, sudah tiba masanya KPM memberi penekanan terhadap Perintah Am, iaitu peraturan asas pentadbiran kerajaan menggariskan etika, disiplin dan tingkah laku penjawat awam termasuk guru demi memastikan kelancaran sistem pendidikan dan menjaga nama baik perkhidmatan awam.
Menurutnya, usaha ini penting bagi memberi pendedahan kepada pendidik, khususnya mereka yang baharu berkhidmat agar memahami dengan jelas peraturan berkenaan.
“Saya melihat penekanan terhadap perintah tersebut penting supaya guru khususnya yang baharu berkhidmat dapat memahami dengan jelas peraturan ditetapkan supaya dapat melahirkan pendidik berprestasi tinggi,” katanya.
Ketika ditanya sama ada bersetuju guru terlibat dengan salah laku dikenakan hukuman tegas, Alimuddin mendakwa perkara itu sudah termaktub dalam Perintah Am.
Ringkasan AI
- Kontroversi salah laku guru termasuk jenayah seksual memberi kesan besar terhadap sektor pendidikan negara
- Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memberi fokus lebih serius terhadap permasalahan salah laku guru
- Guru dipandang tinggi masyarakat kerana peranan mereka dalam menyampaikan ilmu
- Salah laku guru, termasuk isu seksual, walaupun dilakukan oleh sedikit dari jumlah keseluruhan lebih 400,000 guru, memberi kesan besar
- KPM perlu memberi penekanan pada Perintah Am untuk menggariskan etika, disiplin, dan tingkah laku guru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

