Dua maut, tiga parah kereta bertembung pacuan empat roda

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di kawasan lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu-Papar.
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di kawasan lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu-Papar.
A
A
A

PENAMPANG - Dua lelaki maut manakala tiga lagi parah selepas kenderaan jenis Proton Iswara yang mereka dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di kawasan lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu-Papar di sini awal pagi Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi mangsa berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta yang dinaiki lima individu berusia antara 17 hingga 21 tahun dan sebuah pacuan roda dinaiki dua individu iaitu pemandu berusia 36 tahun dan penumpang wanita berusia 27 tahun.

"Siasatan awal mendapati, semasa kejadian kereta yang dipandu lelaki berusia 27 tahun bersama empat penumpang memasuki persimpangan lampu isyarat lalu bertembung dengan pacuan empat roda yang bergerak lurus.

"Akibat kejadian tersebut, salah seorang penumpang kereta disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQEI. Pemandu bersama dua lagi penumpang lain mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

"Sementara itu, pemandu dan penumpang pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan serius tetapi turut menerima rawatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pacuan empat roda terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan lain di kawasan lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu-Papar.
Pacuan empat roda terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan lain di kawasan lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu-Papar.

Sammy berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, kemalangan tersebut menyebabkan Proton Iswara tercampak ke dalam parit manakala pacuan empat roda terbalik.

"Terdapat seorang mangsa tersepit dalam kenderaan berkenaan dan pasukan berjaya mengeluarkan mangsa namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala empat lagi mangsa turut tercampak ke dalam parit.

"Operasi penyelamatan dilakukan oleh enam anggota BBP Putatan dan lapan anggota dari BBP Penampang. Operasi ditamatkan pada jam 5.44 pagi selepas memastikan lokasi kejadian selamat," katanya.

Ringkasan AI

  • Dua lelaki maut dan tiga lagi parah dalam kemalangan di Penampang apabila Proton Iswara bertembung dengan pacuan empat roda
  • Kemalangan berlaku di lampu isyarat Sabindo, Jalan Kota Kinabalu-Papar kira-kira jam 4 pagi
  • Pemandu kereta dan pacuan empat roda masing-masing berusia 27 tahun dan 36 tahun
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu
  • Operasi penyelamatan melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Putatan dan Penampang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!