Lelaki maut nahas empat kenderaan

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya di sini pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.20 petang.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berkenaan melibatkan satu kereta jenis Nissan GT-R, Kia Picanto dan dua kereta Perodua Axia.
"Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Nissan GT-R yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 29 tahun telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya, kenderaan berkenaan telah melanggar kereta jenis Kia Picanto yang dipandu seorang wanita warga tempatan berumur 58 tahun dan dua Perodua Axia yang masing-masing dipandu lelaki warga tempatan berumur 30 dan 29 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah Mohd Sohaimi, perlanggaran tersebut telah menyebabkan beberapa kenderaan terbabit terbabas ke bahu kanan jalan.
Katanya lagi, akibat perlanggaran itu, pemandu kereta jenis Nissan GT-R mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Seorang pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun turut mengalami kecederaan parah di kepala dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala mangsa lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital sama.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai juga diingatkan agar mematuhi had laju dan mengekalkan jarak selamat ketika memandu,” katanya, sambil memaklumkan sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis di talian 07-386 4222.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut dan tiga lagi cedera dalam nahas empat kenderaan di Taman Johor Jaya
- Nahas melibatkan Nissan GT-R, Kia Picanto dan dua Perodua Axia
- Nissan GT-R hilang kawalan sehingga melanggar tiga kenderaan lain
- Pemandu Nissan GT-R meninggal dunia di tempat kejadian
- Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987
- Polis nasihatkan orang ramai patuhi peraturan lalu lintas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
