Disyaki bergaduh di plaza tol, pekerja swasta ditahan

KAJANG - Seorang pekerja swasta ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pergaduhan di Plaza Tol Sungai Long, Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE) menghala ke Balakong di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan jam 10.30 malam pada Sabtu.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau. Lelaki itu telah direman selama tiga hari sehingga esok (Isnin) bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Naazron berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Insp. Ghazali Zulkifli di talian 016-9740758 bagi membantu siasatan,” katanya.
Pada Jumaat, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan dua individu, dengan salah seorang memegang objek disyaki kayu di plaza tol berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi itu turut menyebabkan halangan lalu lintas kepada pengguna lebuh raya yang lain.
Ringkasan AI
- Seorang pekerja swasta ditahan kerana terlibat dalam kes pergaduhan di Plaza Tol Sungai Long
- Ditahan pada jam 10.30 malam pada Sabtu
- Suspek berusia 30 tahun mempunyai rekod jenayah lampau
- Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan
- Orang ramai diminta membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Ghazali Zulkifli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
