[VIDEO] Dr Akmal gesa buat ketetapan UMNO keluar kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa agar satu ketetapan dibuat dalam konvensyen sayap parti untuk UMNO menarik diri daripada kerajaan Perpaduan.
Ujar beliau, keputusan tersebut perlu dibuat secara kolektif dan berprinsip demi menjaga maruah dan hala tuju parti, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam.
"Saya tidak mahu ini jadi pendirian individu. Saya mahu ini jadi suara akar umbi. Adakah kita mahu terus berada dalam kerajaan yang gagal menghormati agama Islam, Raja-Raja Melayu dan maruah bangsa?
"Jika maruah menjadi harga yang perlu dibayar, maka biarlah UMNO berdiri sebagai pembangkang dengan bermaruah daripada terus berada dalam kerajaan tanpa harga diri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Konvensyen bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan' dihadiri sekitar 2,000 ahli, menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Menurut Dr Muhamad Akmal, UMNO telah memberi ruang dan peluang secukupnya kepada kerajaan Perpaduan sepanjang tiga tahun penyertaan parti itu, namun beberapa garis merah yang telah ditetapkan sejak awal didakwa telah dilanggar berulang kali.
Kata beliau, antara garis merah tersebut termasuk larangan menyentuh isu agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu dan hak bangsa, yang mana ia tidak dihormati sehingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu.
“Orang Melayu marah apabila isu kalimah ALLAH SWT dipersoalkan, marah apabila Jalur Gemilang diterbalikkan dan lebih menyakitkan apabila mereka yang mempertahankan bendera ditangkap, manakala pihak yang menghina pula dibiarkan bebas.
“Kita juga marah apabila arak berada dalam majlis rasmi kerajaan dan apabila sensitiviti Melayu Islam dipersendakan,” ujarnya.
Ujarnya Dr Muhamad Akmal, beliau menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menjatuhkan kerajaan melalui jalan pintas seperti ‘tebuk atap’, sebaliknya menyerahkan semula mandat kepada rakyat melalui pilihan raya.
“UMNO bukan parti penakut. Kita sanggup menjadi pembangkang sekiranya itu harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan agama dan bangsa.
“Perjuangan kita bukan soal kuasa atau jawatan tetapi soal mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Ringkasan AI
- Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa UMNO menarik diri daripada kerajaan Perpaduan
- Keputusan harus dibuat dalam konvensyen sayap parti
- Tujuan ialah untuk menjaga maruah serta hala tuju parti
- Hal itu penting dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

