Kenderaan rosak dibaling batu dari jambatan, polis giat kesan pelaku

Kenderaan pacuan empat roda mengalami kerosakan pada cermin selepas dikatakan terkena batu yang dicampakkan dari atas jambatan semasa melalui Lebuhraya WCE baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Akmalrizal
Kenderaan pacuan empat roda mengalami kerosakan pada cermin selepas dikatakan terkena batu yang dicampakkan dari atas jambatan semasa melalui Lebuhraya WCE baru-baru ini. Gambar kecil: Mohd Akmalrizal
A
A
A

KUALA LANGAT - Polis giat mengesan pelaku yang membaling batu dari atas jambatan Seri Cheeding di Kilometer 8.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 3.22 petang, 1 Januari lalu daripada petugas yang sedang membuat rondaan rutin di Lebuhraya WCE.

Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima maklumat daripada Group Kerja Selangor WCE Patrol mengenai sebuah kenderaan pengguna lebuh raya dibaling batu dari atas jambatan hingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan terbabit.

"Dalam kejadian ini, tiada kecederaan yang dilaporkan terhadap pengguna jalan raya.

"Tujuan pengadu buat laporan adalah untuk memohon agar pihak polis membuat kekerapan rondaan di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tegasnya, polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek yang terlibat.

"Polis menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis giat mengesan pelaku yang membaling batu dari atas jambatan Seri Cheeding di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat
  • Laporan diterima polis daripada petugas rondaan Lebuhraya WCE tentang kejadian pembalingan batu ke atas kenderaan
  • Tiada kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan
  • Polis menasihatkan orang awam tidak membuat spekulasi dan meminta yang memiliki maklumat untuk tampil ke balai polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!