Penunggang motosikal maut dirempuh kereta atas jambatan

Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang terlibat kemalangan di Jambatan Kuala Besut.
Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang terlibat kemalangan di Jambatan Kuala Besut.
A
A
A

BESUT – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di atas Jambatan Kuala Besut, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 51 tahun bersama seorang pembonceng wanita dipercayai bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa memotong kenderaan di garisan putih berkembar sebelum memasuki laluan bertentangan.

Keadaan lokasi kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta di Jambatan Kuala Besut pada petang Sabtu.
Keadaan lokasi kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta di Jambatan Kuala Besut pada petang Sabtu.

"Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Adnan Bueraheng, 51, warga Thailand dan mayatnya dihantar ke Hospital Besut bagi tujuan bedah siasat.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Noraini Muhammad Zin di talian 013-438 4239 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan di Jambatan Kuala Besut
  • Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal yang berlaku pada jam 3.30 petang
  • Motosikal memotong kenderaan di garisan putih berkembar ke laluan bertentangan
  • Mangsa yang meninggal dikenal pasti sebagai Adnan Bueraheng, warga Thailand
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!