[VIDEO] Warga asing, kanak-kanak akan dikenakan tindakan jika buang sampah merata-rata - Kor Ming

IPOH - Warga asing dan kanak-kanak tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan kerana membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa di tempat awam di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang tersebut berjalan lancar, seramai 330 anggota penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah digerakkan di seluruh negara sempena ambang tahun baharu 2026.
Menurutnya, hasil penguatkuasaan bermula jam 12.01 tengah malam, seramai 42 individu telah ditahan dan dikenakan kompaun di lokasi Bukit Bintang, Kuala Lumpur, termasuk 18 warga asing serta dua kanak-kanak.
"Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang. Sesiapa sahaja yang didapati mencampak puntung rokok, meludah di jalan atau membuang sampah seperti botol plastik boleh dikenakan tindakan.
"Bagi kes melibatkan kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab sepenuhnya dan perlu menjelaskan kompaun kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik anak-anak," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Bandar Baru Medan Ipoh, di sini pada Jumaat.
Kor Ming menegaskan, penguatkuasaan turut melibatkan warga asing sebagai mesej jelas bahawa undang-undang negara perlu dihormati semua pihak tanpa pengecualian.
Menurutnya, akta berkenaan memperuntukkan denda maksimum sehingga RM2,000 selain hukuman penjara tertakluk kepada keputusan mahkamah, termasuk menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam.
Jelasnya, hukuman tersebut merangkumi kerja-kerja pembersihan seperti menyapu jalan, mencuci longkang dan tandas awam selain membantu mencantas pokok jika perlu.
"Hukuman khidmat masyarakat ini bukan semata-mata untuk menghukum tetapi bertujuan mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
"Menjaga kebersihan bukan tugas kerajaan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab semua pihak selari dengan slogan ‘Malaysia Bersih, Rakyat Sejahtera’,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan akta di negeri yang belum mengguna pakai Akta 672, Kor Ming berkata, tempoh enam bulan diberikan untuk perbincangan bersama kerajaan negeri bagi mencari mekanisme pelaksanaan yang sesuai.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memainkan peranan sebagai duta pelancongan negara bersempena sasaran 45 juta pelancong dengan pendapatan RM350 bilion bagi sektor pelancongan tahun ini.
Ringkasan AI
- Warga asing dan kanak-kanak akan dikenakan tindakan atas pelanggaran Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026
- Seramai 330 anggota penguat kuasa SWCorp telah digerakkan untuk penguatkuasaan undang-undang ini di seluruh negara
- Dalam satu penguatkuasaan di Bukit Bintang, 42 individu termasuk 18 warga asing dan dua kanak-kanak telah ditahan dan dikenakan kompaun
- Akta tersebut memperuntukkan denda maksimum sehingga RM2,000 atau hukuman penjara, termasuk hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam
- Hukuman khidmat masyarakat bertujuan mendidik masyarakat supaya bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

