12,217 saman waran tangkap pesalah trafik didaftarkan di Pahang

Azry meninjau operasi Kaunter Saman Trafik PDRM di UTC Kuantan di sini yang dirasmikan pada Khamis.
Azry meninjau operasi Kaunter Saman Trafik PDRM di UTC Kuantan di sini yang dirasmikan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Pahang merekodkan 12,217 saman waran tangkap melibatkan pesalah trafik yang didaftarkan sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, dalam tempoh itu, 8,415 saman telah diselesaikan, berbaki 3,073 saman.

Menurutnya, individu yang culas membayar saman berdepan kemungkinan saman mereka bertukar status waran tangkap tertakluk kepada jenis kesalahan terutamanya saman kemalangan dan tiada perlindungan insurans.

"Kita nasihatkan pengguna jalan raya yang memiliki saman supaya membuat semakan dan menjelaskannya segara bagi mengelak berdepan tindakan termasuk disenaraihitamkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Kaunter Saman Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini pada Khamis.

Sementara itu, Azry berkata, pembukaan Kaunter Saman Trafik di UTC Kuantan satu inisiatif bagi memudahkan masyarakat melaksanakan urusan semakan dan pembayaran saman trafik melalui saluran perkhidmatan yang lebih mudah diakses, teratur dan mesra pelanggan.

Katanya, dengan adanya kemudahan itu, orang ramai mempunyai satu lagi pilihan lokasi untuk menyelesaikan urusan saman trafik tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kaunter perkhidmatan di premis PDRM yang lain.

"Saya percaya kemudahan ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa, malah dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

"Pemilihan UTC Kuantan sebagai lokasi pengoperasian kaunter ini bertepatan memandangkan kedudukannya yang strategik serta peranannya sebagai pusat tumpuan masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pengoperasian kaunter saman trafik itu diharap dapat melengkapkan lagi kemudahan perkhidmatan sedia ada serta memberikan nilai tambah kepada masyarakat, khususnya penduduk di sekitar Kuantan dan kawasan berhampiran.

Dalam perkembangan lain, Azry menjelaskan, Pahang merekodkan 383 kes kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Katanya, angka itu menunjukkan peningkatan 3.1 peratus berbanding 371 kes kematian yang dilaporkan tahun lalu.

"Secara keseluruhan, 18,688 kemalangan direkodkan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

"Daripada jumlah itu, 342 kes kemalangan maut, 77 kes kemalangan parah dan 298 kes melibatkan kemalangan parah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!