Luluh hati isteri sarat hamil tahu suami positif dadah

A
A
A

KUALA LUMPUR - Luluh hati seorang isteri yang sedang sarat mengandung tujuh bulan selepas suaminya ditahan kerana positif dadah.

Perkara itu terbongkar selepas kereta dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an bersama ahli keluarganya itu ditahan semasa sekatan jalan raya Op Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta di sini pada Rabu.

Operasi bermula jam 11 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta konsesi lebuh raya PLUS Berhad.

Lelaki yang didapati positif syabu itu mendakwa terjebak beberapa tahun lalu akibat pengaruh rakan.

"Saya beli 'barang' RM30. Sekali hisap saja.

"Ini hisap pun tiga hari lepas. Sebulan dua tiga kali sahaja," katanya dalam nada perlahan sebelum didatangi isterinya yang juga warga Indonesia berusia 19 tahun.

Dalam langkah perlahan, wanita itu hadir ke meja pemeriksaan AADK bagi bertanyakan status penahanan suaminya.

Dia yang kecewa sempat menepis tangan suaminya kemudian beredar dengan dipujuk ahli keluarga dalam keadaan sebak selepas memberitahu tidak mengetahui penglibatan suaminya terjebak dadah.

Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang pemuda berusia 24 tahun terkedu selepas ujian air kencingnya disahkan positif ganja.

Artikel Berkaitan:

"Betul bang. Saya tak ada ambil apa-apa barang pun. Saya tak merokok, tak ambil ganja, cuma vape (rokok elektonik) saja,"

"Tak sangka positif. Ini pun keluarga tak tahu lagi saya kena tahan," katanya sambil menunjukkan perisa buah bagi vape yang dibawanya di dalam beg.

Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, sebanyak 240 lokasi operasi dijalankan di seluruh negara termasuk 25 di sekitar ibu negara.

Katanya, operasi ini dijalankan bagi memastikan keselamatan jalan raya selain memfokuskan aktiviti lumba haram selepas detik 12 tengah malam.

"Kita juga akan mengesan pemandu yang menggunakan alkohol dan dadah.

"Polis mahu mendisiplinkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan diingatkan agar semua menggunakan jalan raya dengan penuh berhemah," katanya kepada pemberita di sini.

Ringkasan AI

  • Luluh hati seorang isteri sarat mengandung apabila suaminya ditahan kerana positif dadah
  • Kereta lelaki tersebut ditahan dalam operasi sekatan jalan raya sempena Ambang Tahun Baharu
  • Operasi dijalankan oleh JSPT Bukit Aman bersama AADK, JAS dan PLUS Berhad
  • Lelaki itu mengaku terjebak dalam penggunaan dadah akibat pengaruh rakan
  • Operasi tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan jalan raya dan memerangi lumba haram

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!