JKDM tambah baik proses pengimbasan kontraban penumpang antarabangsa di KLIA

JKDM melaksanakan penambahbaikan proses pengimbasan dan pengesanan barangan kontraban terhadap penumpang antarabangsa di Terminal 1 KLIA bermula Khamis. Gambar hiasan
JKDM melaksanakan penambahbaikan proses pengimbasan dan pengesanan barangan kontraban terhadap penumpang antarabangsa di Terminal 1 KLIA bermula Khamis. Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan penambahbaikan proses pengimbasan dan pengesanan barangan kontraban terhadap penumpang antarabangsa yang berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bermula Khamis.

JKDM dalam kenyataan media memaklumkan, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha pengoptimuman aliran pergerakan trafik penumpang di lapangan terbang.

"Sejajar dengan penyelarasan operasi yang telah dipersetujui, proses pengimbasan keselamatan di pintu pelepasan Terminal 1, KLIA akan dilaksanakan oleh Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) Malaysia Airports, selaras dengan fungsi dan piawaian keselamatan penerbangan awam yang ditetapkan," katanya.

Menurut kenyataan itu, pendekatan tersebut memperkukuh kerjasama operasi antara JKDM, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan AVSEC melalui pengimbasan berasaskan petunjuk risiko, risikan dan analisis trend semasa.

"Sekiranya hasil pengimbasan atau pemerhatian keselamatan menimbulkan kecurigaan atau mengesan potensi kesalahan melibatkan barangan larangan termasuk dadah, hidupan liar atau instrumen boleh niaga, penumpang serta barangan berkenaan akan ditahan dan diserahkan kepada JKDM dan agensi yang berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Dalam pada itu, JKDM telah melaksanakan langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak AVSEC melalui Kursus Pengecaman Imej Imbasan Kontraban bagi pegawai-pegawai AVSEC pada 22 dan 23 Disember di Malaysia Airports Academy (MAA) dan Terminal 1, KLIA yang melibatkan 33 pegawai AVSEC.

"Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan agensi berkaitan untuk memastikan kelancaran operasi lapangan terbang, keselamatan, pematuhan undang-undang serta perlindungan kepentingan negara sentiasa terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan melaksanakan penambahbaikan proses pengimbasan dan pengesanan barangan kontraban di KLIA bermula Khamis
  • Langkah ini bertujuan mengoptimumkan aliran pergerakan trafik penumpang di lapangan terbang
  • Pengimbasan keselamatan akan dilakukan oleh Bahagian Keselamatan Penerbangan Malaysia Airports sesuai dengan piawaian keselamatan penerbangan awam
  • Penumpang dan barangan yang dicurigai melalui pengimbasan akan ditahan dan diserahkan kepada JKDM untuk tindakan lanjut
  • JKDM telah mengadakan kerjasama strategik dengan AVSEC melalui kursus pengecaman imej imbasan kontraban bagi pegawai AVSEC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!