Tali leher tidak wajib, isyarat perubahan lebih mesra murid

Keputusan tidak mewajibkan pemakaian tali leher mencerminkan kesediaan kerajaan untuk mendengar, menilai dan menyesuaikan dasar pendidikan agar lebih relevan dan realistik. Gambar hiasan
Keputusan tidak mewajibkan pemakaian tali leher mencerminkan kesediaan kerajaan untuk mendengar, menilai dan menyesuaikan dasar pendidikan agar lebih relevan dan realistik. Gambar hiasan
A
A
A

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak lagi mewajibkan pemakaian tali leher kepada murid sekolah mulai sesi persekolahan tahun depan boleh dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa sistem pendidikan kini semakin bersedia menyesuaikan diri dengan realiti semasa murid.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat siaran bertarikh 17 Disember lalu, susulan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Profesional Khas KPM 2025 yang diadakan pada 8 Disember.

Surat berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.

Menurut KPM, dasar tersebut menetapkan bahawa tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan ke atas murid berkaitan pemakaian tali leher di sekolah.

Antara faktor utama yang dipertimbangkan termasuk keadaan iklim tempatan yang panas dan lembap, yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher secara harian serta boleh menjejaskan keselesaan murid.

Walaupun kelihatan kecil, langkah itu membawa makna besar kerana ia mencerminkan perubahan cara fikir dalam menggubal dasar pendidikan, daripada terlalu menekankan simbol dan tradisi kepada keutamaan terhadap keselesaan serta kesejahteraan murid.

Dalam iklim Malaysia yang panas dan lembap hampir sepanjang tahun, pemakaian aksesori tersebut lebih kerap menjadi beban fizikal berbanding nilai tambah kepada pembentukan sahsiah pelajar.

Keputusan itu juga wajar dilihat dari sudut kebajikan murid iaitu keselesaan semasa berada di dalam kelas, bergerak dari satu blok ke blok lain atau ketika aktiviti kokurikulum yang memberi kesan langsung kepada tahap tumpuan dan emosi pelajar sepanjang hari persekolahan.

Dalam konteks kos sara hidup yang semakin mencabar, langkah terbabit turut membawa mesej empati kepada ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Walaupun tali leher kelihatan sebagai item kecil, ia tetap melibatkan kos tambahan, khususnya kepada keluarga yang mempunyai ramai anak bersekolah.

Lebih penting, langkah tidak lagi mewajibkan pemakaian tali leher membawa makna kelonggaran yang jelas bahawa murid kini mempunyai pilihan tanpa tekanan penguatkuasaan atau hukuman.

Langkah tersebut boleh dianggap sebagai permulaan kepada penilaian semula isu-isu lain yang telah lama dibangkitkan, termasuk masalah beg sekolah yang terlalu berat.

Jika soal tali leher boleh dikaji semula, maka isu beban buku dan isu-isu pendidikan lain juga wajar diberi perhatian serius.

Pendekatan itu menunjukkan perubahan arah dasar pendidikan yang lebih mesra murid, iaitu meletakkan keperluan sebenar pelajar sebagai asas utama sebelum sesuatu peraturan dilaksanakan atau diteruskan.

Sudah tentu, kelonggaran itu tidak bermakna penampilan murid boleh diabaikan, sebaliknya pakaian sekolah masih perlu kemas, sopan dan beridentiti, selari dengan nilai yang ingin dibentuk dalam sistem pendidikan negara.

Justeru, keputusan untuk tidak mewajibkan pemakaian tali leher bukan sekadar soal pakaian, tetapi mencerminkan kesediaan kerajaan untuk mendengar, menilai dan menyesuaikan dasar pendidikan agar lebih relevan, realistik dan berperikemanusiaan demi masa depan murid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!