Iftar 4 Gaza sasar penghantaran bantuan 2 juta pek makanan

Muhammad Nasir (empat dari kiri) dan Mohammad Zaidi (kanan) bersama barisan anggota Pertubuhan Hati Suci di ibu pejabat Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Muhammad Nasir (empat dari kiri) dan Mohammad Zaidi (kanan) bersama barisan anggota Pertubuhan Hati Suci di ibu pejabat Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Inisiatif Iftar 4 Gaza menyasarkan penghantaran bantuan sebanyak dua juta pek makanan kepada penduduk Gaza yang terjejas menerusi kaedah logistik guguran udara atau ‘air drop’.

Pengerusi Pertubuhan Hati Suci, Mohammad Zaidi Zainuddin berkata, usaha kemanusiaan dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf itu bertujuan memastikan bantuan disalurkan terus kepada penduduk Gaza yang berdepan krisis kelaparan menjelang Ramadan.

Ujar beliau, penghantaran bantuan disasarkan dua minggu sebelum Ramadan, dengan anggaran awal antara 200,000 hingga 300,000 pek makanan dihantar melalui udara sebagai fasa permulaan.

“Apabila kita lihat keadaan sebenar di Gaza, keperluan paling mendesak ketika ini ialah makanan. Jadi objektif kami jelas, iaitu menghilangkan kelaparan, bukan menyediakan makanan mewah.

“Kita tidak mahu orang sumbang tetapi tertanya-tanya sama ada bantuan itu benar-benar sampai. Dengan kaedah ‘air drop’, masyarakat boleh lihat sendiri bantuan dihantar dan sampai ke kawasan sasaran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di ibu pejabat Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Hadir sama Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang; Ketua Sekretariat ‘Iftar 4 Gaza’, Hamdan Hashim dan barisan anggota Pertubuhan Hati Suci.

Menurut Mohammad Zaidi, sasaran kutipan dana bagi inisiatif berkenaan adalah sebanyak RM2 juta, dengan fokus kepada makanan jenis Meal Ready to Eat (MRE) yang mudah diagihkan dan sesuai untuk situasi kecemasan.

“Kami harap orang ramai dapat membantu menjayakan inisiatif ini, walaupun hanya dengan sumbangan serendah RM1. Kami anggarkan satu pek MRE ini bernilai RM1.

“Kalau 30 juta rakyat Malaysia sumbang RM1, kita sudah ada RM30 juta. Walaupun hanya sumbangan yang diterima dalam RM2 juta, jumlah itu sudah cukup besar untuk membantu saudara kita di Gaza,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, program berkenaan merupakan inisiatif yang wajar disokong oleh semua pihak kerana pendekatannya dilihat mampu memastikan bantuan sampai kepada rakyat Gaza dengan lebih pantas dan berkesan.

Menurut beliau, usaha tersebut juga selari dengan objektif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Karangkraf yang sentiasa komited dalam membantu golongan memerlukan, khususnya melibatkan krisis kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

“Kami melihat inisiatif Iftar 4 Gaza di bawah anjuran Pertubuhan Hati Suci ini sebagai satu pendekatan yang praktikal dan telus dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Saya rasa pendekatan seperti ini lebih mudah terutama melibatkan bantuan berkait dengan makanan dan minuman, lebih-lebih lagi rakyat Gaza kini terkesan dengan musim sejuk dan banjir yang berlaku baru-baru ini," katanya.

Kutipan dibuka sejak 1 Rejab hingga 29 Syawal 1447H, bersamaan 22 Disember hingga 18 April 2026.

Derma kemanusiaan itu boleh disalurkan ke akaun Maybank 5624 7823 2717 (Pertubuhan Hati Suci) atau e-mel ke iftar4gaza1447h@gmail.com untuk pertanyaan lanjut.

Ringkasan AI

  • Inisiatif Iftar 4 Gaza menyasarkan penghantaran dua juta pek makanan kepada penduduk Gaza
  • Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf bertujuan menghilangkan kelaparan
  • Penghantaran bantuan dijadualkan dua minggu sebelum Ramadan melalui kaedah logistik guguran udara
  • Sasaran kutipan dana adalah RM2 juta untuk membiayai pembelian makanan jenis Meal Ready to Eat
  • Inisiatif ini dipandang sebagai pendekatan praktikal dan telus untuk membantu penduduk Gaza yang memerlukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!