X

Kindly register in order to view this article
!

PU Azman buat tuisyen percuma secara live

PU AZMAN (FOTO: INSTAGRAM PU AZMAN)
A
A

PENDAKWAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman memanfaatkan masa terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan kelas tuisyen secara langsung di Instagram secara percuma kepada pelajar.

Menurut PU Azman, tuisyen secara dalam talian itu akan memberikan fokus kepada subjek berkaitan agama Islam khusus buat mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Cik Man nak buat tuisyen online percuma melalui Instagram Live untuk subjek SPM, Pendidikan Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah,” tulisnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Menurutnya, beliau meminta jasa baik mana-mana pihak yang boleh memberikan buku teks untuk dijadikan sebagai panduan mengikut silibus pembelajaran.

“Siapa boleh pinjamkan buku teks? Cik Man akan huraikan ikut sukatan SPM dan huraian tambahan.

“Cik Man cuba bantu mana yang boleh. Jangan cadangkan download (muat turun) ya sebab Cik Man nak pegang buku ketika mengajar, lebih selesa,” katanya.

Tambah pelakon drama Sweet Dreams ini, kelas berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Katanya, beliau memulakan kelas tuisyen percuma itu sejak tiga hari lalu bermula jam 10.30 malam bertajuk Usul Fiqh.

PU Azman mengadakan kelas tuisyen secara langsung di Instagram secara percuma kepada pelajar sepanjang PKP. (FOTO: Instagram PU AZMAN)
PU Azman mengadakan kelas tuisyen secara langsung di Instagram secara percuma kepada pelajar sepanjang PKP. (FOTO: Instagram PU AZMAN)

“Siapa ada buku teks Tingkatan 4 Pendidikan Syariah Islamiah, maka bawa sekali masa live ye. Tajuk Usul Fiqh.

“Kelas seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, usahanya itu menerima pelbagai respons positif dalam kalangan pengikutnya.

Rata-rata memuji tindakan PU Azman yang menyediakan peluang tuisyen secara dalam talian lebih-lebih lagi apabila kini masing-masing perlu mematuhi PKP untuk kekal berada di rumah.

“Bagusnya Cik Man. Semoga dimurahkan rezeki dan ganjaran pahala mengajar.

“Automatik dapat A+ lah Pendidikan Islam calon SPM tahun ni.

“Baguslah Cik Man ni buat tuisyen percuma, saya pun nak jadi pelajar balik,” kata sebahagian pengikutnya.

Usaha murni itu juga turut mendapat pujian dalam kalangan rakan artis antaranya Shiha Zikir dan Sherry Al-Hadad.

PU Azman yang mempunyai lebih 1.6 juta pengikut di Instagram sering mengadakan sesi soal jawab bersama pengikutnya berkaitan hal agama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!