17 tahun tunggu miliki rumah sendiri

KUANTAN – Penantian selama 17 tahun untuk memiliki rumah sendiri berakhir apabila ibu kepada empat anak menerima surat tawaran Program Residensi Rakyat (PRR) Pulau Manis di sini.
Noraslina Idris, 43, bersyukur kerana selepas ini dia sekeluarga tidak perlu lagi menyewa di Pandan sebaik sahaja menerima rumah pertamanya.
“Saya mohon rumah ini sejak 2008. Bila terima surat tawaran, memang tidak sangka.
Alhamdulillah, sangat gembira dapat rumah sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Damai pada petang Selasa.
Penyerahan surat tawaran itu disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Seramai 85 penerima telah menerima surat tawaran di bawah skim PRR Pulau Manis dengan harga RM45,000 seunit, melibatkan nilai keseluruhan RM3.825 juta.
Sementara itu, juruteknik, Mohd Shah Afendy Razali, 36, berkata, ini merupakan rezeki tahun baharu yang tidak disangka-sangka.
“Alhamdulillah, saya ingat memang tidak dapat kerana sudah lama membuat permohonan. Bila surat sampai, kami pun macam tidak percaya,” ujarnya.
Dia memaklumkan, isterinya turut terkejut apabila mengetahui mereka bakal memiliki rumah sendiri.
“Dia pun tidak sangka.. tapi memang gembira sangat, boleh saya katakan ini hadiah tahun baharu untuk keluarga kami,” tambahnya.

Mohd Shah Afendy berkata, rumah tersebut memberi peluang kepada mereka menumpukan perhatian kepada kehidupan keluarga yang lebih stabil.
"Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang rakyat Pahang memiliki kediaman sendiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

