Penggunaan gelaran ‘Dr’ tidak boleh mengelirukan - Presiden MMA

SHAH ALAM - Penggunaan gelaran ‘Dr’ tidak boleh dilakukan secara mengelirukan, khususnya oleh graduan perubatan yang belum berdaftar sebagai pengamal perubatan dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan terkini MMC berhubung penggunaan gelaran tersebut, sambil mengiktiraf peranan MMC sebagai badan kawal selia berkanun bagi amalan perubatan di negara ini.
Beliau berkata, penjelasan dari sudut profesional dan etika adalah penting berikutan peningkatan perhatian orang awam terhadap isu itu serta kebimbangan yang timbul dalam kalangan profesional perubatan dan masyarakat umum.
Menurutnya, penyalahgunaan gelaran atau kelayakan perubatan berpotensi menjejaskan kepercayaan awam dan mengancam keselamatan pesakit.
“Dalam era maklumat kesihatan yang mudah disebarkan melalui media sosial, adalah lebih penting untuk memastikan hanya individu yang berdaftar dan layak sahaja dilihat bercakap atau bertindak dalam kapasiti perubatan berkaitan isu kesihatan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dr Thirunavukarasu menjelaskan bahawa walaupun gelaran akademik ‘Dr’ boleh digunakan oleh individu yang menamatkan ijazah perubatan, penggunaan gelaran itu tidak memberi hak untuk mengamalkan perubatan atau memberi gambaran bahawa seseorang itu berdaftar dengan MMC.
Beliau berkata, Akta Perubatan 1971 di bawah Seksyen 33 menetapkan bahawa adalah satu kesalahan bagi individu yang tidak berdaftar atau tidak dikecualikan di bawah akta itu untuk menggunakan nama, gelaran atau keterangan yang boleh mengelirukan orang awam sehingga mempercayai mereka layak atau diberi kuasa mengamalkan perubatan atau pembedahan.
Menurutnya, isu sebenar bukan terletak pada gelaran semata-mata, sebaliknya pada konteks penggunaannya.
“Apabila gelaran ‘Dr’ digunakan oleh individu yang tidak berdaftar dalam konteks perubatan atau kesihatan, sama ada secara fizikal atau digital, terutamanya ketika memberikan komunikasi awam berkaitan kesihatan, nasihat, sokongan produk atau rawatan, wujud risiko orang awam mempercayai individu tersebut berdaftar secara sah,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan orang awam menyemak status pendaftaran dan lesen pengamal perubatan melalui laman web rasmi MMC serta melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat individu yang memberikan nasihat atau perkhidmatan kesihatan tanpa pendaftaran dan lesen yang sah.
Dr Thirunavukarasu menyeru semua pihak termasuk graduan perubatan, pengamal media, promoter produk dan pencipta kandungan digital supaya mengamalkan tanggungjawab, ketelusan serta pertimbangan etika dalam penggunaan gelaran profesional dalam konteks kesihatan.
Menurutnya, MMA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk MMC bagi mengekalkan integriti profesion dan memastikan keyakinan awam terhadap sistem perubatan negara terus terpelihara.
Ringkasan AI
- Penggunaan gelaran 'Dr' oleh graduan perubatan yang belum berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) tidak boleh dilakukan secara mengelirukan
- Penyalahgunaan gelaran atau kelayakan perubatan boleh menjejaskan kepercayaan awam dan mengancam keselamatan pesakit
- Gelaran akademik 'Dr' boleh digunakan oleh individu yang menamatkan ijazah perubatan tetapi tidak memberi hak untuk mengamalkan perubatan atau berdaftar dengan MMC
- Akta Perubatan 1971 menetapkan penggunaan nama, gelaran atau keterangan oleh individu yang tidak berdaftar adalah satu kesalahan
- MMA menyeru kepada ketelusan dan pertimbangan etika dalam penggunaan gelaran profesional dalam konteks kesihatan dan akan bekerjasama dengan MMC untuk memelihara integriti profesion perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

