Apabila tahun bertukar, kita bagaimana?

Dentuman bunga api dan sorakan detik 12 malam menjadi simbol seolah-olah segala beban lama ditinggalkan bersama tahun yang berlalu. - Foto Pexels
Dentuman bunga api dan sorakan detik 12 malam menjadi simbol seolah-olah segala beban lama ditinggalkan bersama tahun yang berlalu. - Foto Pexels
A
A
A

SETIAP kali angka kalendar berubah, kita seakan-akan diberi peluang baharu.

Dentuman bunga api dan sorakan detik 12 malam menjadi simbol seolah-olah segala beban lama ditinggalkan bersama tahun yang berlalu.

Namun, apabila kesunyian kembali menyelubungi dan cahaya mula malap, persoalan sebenar muncul apabila tahun bertukar - kita bagaimana?

Bagi sebahagian masyarakat, sambutan tahun baharu kini tidak lagi diraikan dengan keterujaan sama.

Bukan kerana hilang semangat tetapi realiti hidup semakin menuntut keutamaan berbeza.

Mungkin disebabkan tekanan kos sara hidup memaksa ramai berfikir dua kali sebelum berbelanja.

Justeru, sambutan sederhana atau sekadar berada di rumah bersama keluarga bukan lagi pilihan asing.

Malah sudah menjadi norma baharu tanpa rasa kekurangan.

Penulis juga berpendapat perubahan ini bukan kegagalan meraikan, sebaliknya tanda kematangan kerana masyarakat semakin sedar kegembiraan tidak semestinya diukur melalui kemeriahan dan keseronokan sementara tidak menjamin ketenangan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Jika kita lihat daripada sudut sosial cara sambutan turut berubah yang mana perhimpunan kecil, kebersamaan keluarga dan pengisian kerohanian semakin mendapat tempat.

Situasi ini menunjukkan keinginan masyarakat menyambut tahun baharu dengan makna, bukan sekadar suasana.

Namun, setiap kali menjelang detik peralihan tahun, isu sama tetap berulang sama ada kesesakan, gangguan ketenteraman awam dan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak terus menjadi bayangan sambutan yang sepatutnya membawa kegembiraan.

Hakikatnya, sambutan tahun baharu sering menguji tahap kesedaran masyarakat dan bukan hanya kepada pihak berkuasa untuk mengawal keadaan, tetapi kepada individu untuk mengawal diri.

Lebih penting, tahun baharu seharusnya menjadi ruang muhasabah bersama dan mengajak kita menilai semula cara hidup, memperbetulkan kelemahan dan meninggalkan tabiat lama yang tiada perubahan.

Penulis tidak menafikan, ramai memasuki tahun baharu dengan azam sama saban tahun.

Niat berubah sering terhenti di awal langkah, tewas kepada keselesaan dan kebiasaan.

Dalam dunia semakin mencabar, pertukaran tahun tidak menjanjikan apa-apa jika sikap dan cara fikir kekal sama.

Harapan tanpa tindakan hanya menjadi kitaran berulang.

Apabila tahun bertukar, persoalan sebenar bukan tentang apa diraikan, tetapi siapa kita selepas ini.

Adakah kita benar-benar berubah atau sekadar menunggu masa berlalu dengan harapan yang tidak pernah ditunaikan?

Tidak dinafikan ramai memasuki tahun baharu dengan azam sama. Niat sering terhenti di awal langkah, tewas kepada keselesaan dan kebiasaan.

Melihat kesinambungan azam tahun baharu dari tahun sebelumnya, penulis melihat perkara ini daripada dua sudut berbeza.

Pastikannya ia bukan semata-mata bersifat negatif, sebaliknya mempunyai sisi positif jika difahami dalam konteks tepat.

Dari sudut positif, azam dibawa boleh dianggap sebagai proses jangka panjang kerana tidak semua perubahan mampu dicapai dalam tempoh setahun kerana bergantung kepada kemampuan individu, persekitaran dan keutamaan hidup sentiasa berubah.

Persoalan sebenar bukan apa diraikan, tetapi siapa kita selepas ini. Adakah kita berubah atau sekadar menunggu masa berlalu dengan harapan yang tidak pernah ditunaikan?

*Norawazni Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Pahang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!