Kutipan bayaran saman cecah RM7.2 juta

KUALA LUMPUR – Kira-kira RM7.2 juta hasil kutipan bayaran saman direkodkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sejak 1 November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, jumlah kutipan itu melibatkan 104,900 saman yang telah dijelaskan sepanjang tempoh berkenaan.
"Sambutan orang ramai pada peringkat awal pembukaan kaunter bayaran saman dilihat sederhana, namun kekal konsisten dengan kehadiran pengunjung setiap hari.
"Bagaimanapun, dalam tempoh dua hari kebelakangan ini, kehadiran meningkat dengan ketara apabila kira-kira 5,500 orang hadir untuk menjelaskan saman,” katanya pada Selasa.
Katanya, pihaknya membuka kemudahan tambahan susulan arahan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengarah JSPT bagi memastikan urusan pembayaran berjalan lancar serta teratur melibatkan enam khemah selain 19 kaunter bayaran saman dibuka di seluruh Kuala Lumpur.
"Daripada jumlah itu, 11 kaunter beroperasi di JSPT Kuala Lumpur termasuk tiga kaunter khas untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).
"Selain itu, tiga kaunter dibuka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, dua kaunter di Wangsa Maju dan tiga lagi di Dang Wangi, menjadikan keseluruhan 19 kaunter bayaran saman," katanya.
Menurutnya, pihaknya turut menyediakan air mineral sebagai kemudahan asas kepada orang ramai.
"Langkah ini diharap dapat mempercepatkan urusan orang ramai serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka yang hadir menyelesaikan saman," katanya.
Ringkasan AI
- Kira-kira RM7.2 juta hasil kutipan bayaran saman direkodkan JSPT Kuala Lumpur sejak 1 November lalu
- Jumlah kutipan melibatkan 104,900 saman yang telah dijelaskan
- Kehadiran pengunjung ke kaunter bayaran saman meningkat ketara dua hari terakhir dengan kira-kira 5,500 orang hadir
- Sebanyak 19 kaunter bayaran saman dibuka di seluruh Kuala Lumpur termasuk kemudahan tambahan susulan arahan Ketua Polis Kuala Lumpur
- Kemudahan asas seperti air mineral disediakan untuk mempercepatkan urusan pembayaran dan memberikan perkhidmatan terbaik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

