Seludup rokok kretek lebih RM300,000 di Sungai Golok

TUMPAT – Kegiatan penyeludupan di sempadan Sungai Golok dibongkar Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga apabila seorang lelaki ditahan bersama rokok keretek bernilai lebih RM300,000 dalam Op Taring Pensura, Isnin lalu.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulafendy Hassan berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang di tebing Sungai Mentua berhampiran Jambatan Pulau Ular, Pengkalan Kubor.
“Ketika rondaan berkala menggunakan bot, pihak berkuasa ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan di tebing sungai sebelum menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 10 guni yang mengandungi 96,000 batang rokok keretek yang disimpan di ruangan belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut Zulafendy, suspek memberikan kerjasama penuh sepanjang pemeriksaan, dan kesemua 480 karton rokok yang dirampas bersama suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan rokok keretek termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM321,760.
“Tangkapan dan sitaan ini merupakan kes keenam berjaya dilakukan oleh PPM Wilayah Tiga dalam operasi seumpama ini,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan import sebagaimana diperuntukkan di bawah Jadual Ketiga, Bahagian II, Perenggan 8 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Tambahnya, sepanjang tahun ini, sebanyak 1.7 juta batang rokok seludup berjaya dirampas oleh PPM Wilayah Tiga dengan nilai keseluruhan termasuk cukai mencecah RM4.1 juta.
Ringkasan AI
- Polis Marin menahan seorang lelaki bersama rokok keretek bernilai lebih RM300,000 di sempadan Sungai Golok
- Suspek berusia 31 tahun ditahan di tebing Sungai Mentua berhampiran Jambatan Pulau Ular
- Pacuan empat roda dengan 10 guni mengandungi 96,000 batang rokok keretek ditemukan semasa pemeriksaan
- Keseluruhan barang rampasan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM321,760
- Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

