Mohd Naim mahu pastikan kemenangan BN di PRK Lamag, Kinabatangan

KOTA KINABALU - Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar menegaskan, keutamaan beliau adalah memastikan kesejahteraan rakyat di Kinabatangan dan Lamag terus terbela.
Mengulas keputusan parti yang mencalonkan individu lain bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Naim menyifatkan BN sebagai sebuah parti yang mempunyai kredibiliti tinggi serta sentiasa mengutamakan calon berwibawa demi memastikan kemenangan gabungan itu.
"BN merupakan parti yang berkredibiliti dan saya yakin kalau mengemukakan calon yang berkredibiliti tinggi, Insya-ALLAH gabungan tersebut akan menjadikan kemenangan kepada BN dan juga calon yang dikemukakan," katanya ketika ditemui pemberita, di sini pada Selasa.
Ditanya sama ada wujud perasaan tidak senang hati terhadap pencalonan Mohd Ismail Ayob atau Miha, beliau menegaskan perkara itu tidak timbul kerana politik menuntut kematangan dan matlamat bersama.
"Ini politik. Dulu lawan, sekarang kawan. Dulu kawan, sekarang lawan. Yang ada adalah matlamat untuk memastikan kemenangan calon, memastikan masyarakat mendapat kemajuan yang didambakan oleh seluruh rakyat yang ada di Lamag dan juga Kinabatangan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Naim turut berkongsi perjalanan penglibatannya dalam dunia politik yang bermula sejak lebih sedekad lalu.
"Sejak aktif politik, saya dilantik selaku Ketua Penerangan Pemuda UMNO pada 2014, menjadi Ketua Pemuda pada 2018 sehingga hari ini, sekarang Bendahari Pemuda UMNO Malaysia," jelasnya.
Walaupun berpengalaman, Mohd Naim menyerahkan kepada rakyat Kinabatangan untuk menilai sama ada beliau diterima sebagai penerus legasi arwah bapanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin atau sebaliknya.
Mohd Naim, 31, diumum sebagai calon BN bagi Parlimen Kinabatangan dalam PRK yang akan berlangsung pada 24 Januari depan.
PRK bagi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan selepas kedua-dua kerusi mengalami kekosongan di luar jangka selepas penyandangnya, Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Ringkasan AI
- Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar menekankan keutamaan pada kesejahteraan rakyat di Kinabatangan dan Lamag
- Mohd Naim menyifatkan BN sebagai parti berwibawa yang mengutamakan calon berkredibiliti untuk memastikan kemenangan
- Tiada perasaan tidak senang hati terhadap pencalonan individu lain oleh Mohd Naim, memahami dinamika politik sebagai usaha bersama mencapai matlamat
- Mohd Naim telah terlibat dalam politik lebih dari satu dekad, dengan posisi-posisi kepimpinan dalam UMNO seperti Bendahari Pemuda UMNO Malaysia
- Mohd Naim adalah calon BN bagi Parlimen Kinabatangan dalam PRK yang akan berlangsung pada 24 Januari, selepas kematian ayahnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
