Zikir di Candi Prambanan cetus kontroversi

YOGYAKARTA – Tular di media sosial rakaman video memaparkan sekumpulan individu melakukan zikir di kawasan pekarangan Candi Prambanan, tapak warisan budaya Hindu terbesar di Indonesia, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Dalam video berkenaan, beberapa lelaki berpakaian serba putih dilihat duduk berbaris menghadap dinding batu candi sambil melantunkan zikir, manakala sebahagian pengunjung lain merakam aksi tersebut menggunakan telefon bimbit.
Susulan penularan video itu, pengurusan PT Taman Wisata Candi (TWC) Prambanan tampil memohon maaf kepada orang ramai serta menjelaskan insiden berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi, kejadian itu berlaku di bahagian utara Candi Siwa pada 25 Disember lalu kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.
“Kami memohon maaf atas ketidakselesaan yang timbul. Bersama Balai Pelestarian Kebudayaan Wilayah X, pengawasan terhadap tingkah laku pengunjung akan dipertingkatkan agar selaras dengan norma serta nilai luhur Candi Prambanan sebagai tapak cagar budaya,” menurut kenyataan itu yang dipetik media tempatan.
Pihak pengurusan memaklumkan, kumpulan terbabit terdiri daripada kira-kira 11 individu dari Semarang, Jawa Tengah, dan telah diberi teguran langsung oleh petugas keselamatan di lokasi kejadian.
PT TWC menegaskan bahawa pihaknya menghormati kebebasan ekspresi spiritual, namun sebarang aktiviti di kawasan candi perlu mematuhi peraturan bagi memastikan kelestarian struktur warisan serta keselesaan semua pengunjung.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan menghormati fungsi Candi Prambanan sebagai tapak warisan budaya yang perlu dipelihara.-Agensi
Ringkasan AI
- Tular di media sosial video zikir di Candi Prambanan menyebabkan pelbagai reaksi masyarakat
- Pengurusan PT Taman Wisata Candi Prambanan memohon maaf dan menjelaskan insiden tersebut
- Insiden berlaku 25 Disember di bahagian utara Candi Siwa
- Kumpulan yang terlibat dari Semarang dan telah ditegur oleh petugas keselamatan
- Pihak pengurusan menekankan pentingnya mematuhi peraturan untuk menjaga kelestarian candi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

