Haji, kemampuan dan realiti hari ini

Untuk musim haji 2026, TH bakal menanggung subsidi lebih RM210 juta untuk memastikan kos haji tidak membebankan bakal haji. Foto hiasan
Untuk musim haji 2026, TH bakal menanggung subsidi lebih RM210 juta untuk memastikan kos haji tidak membebankan bakal haji. Foto hiasan
A
A
A

DALAM beberapa tahun kebelakangan ini masyarakat Islam di Malaysia sering meluahkan rasa bimbang dan keluhan mengenai kenaikan kos untuk menunaikan ibadat haji.

Ramai merasakan kos semakin membebankan dan menyangka ia berpunca daripada dasar kerajaan atau Tabung Haji (TH).

Sebenarnya, kos tunai haji tidak ditentukan oleh Malaysia. Hampir keseluruhan kenaikan datang daripada kos operasi di Tanah Suci.

Statistik dalam tempoh 10 tahun, kos haji pada tahun 2015 hanya sekitar RM17,270 dan kini telah meningkat kepada RM33,300 (92 peratus peningkatan) di mana sekitar 80 peratus daripadanya adalah kos di Arab Saudi seperti penginapan hotel, tiket penerbangan, pengangkutan darat, penyediaan makanan serta perkhidmatan di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Semua negara turut berdepan dengan peningkatan kos yang sama dan Malaysia tidak terkecuali.

Dalam kenyataan TH semasa pengumuman kos dan bayaran haji pada Oktober lalu, sejak 2001 apabila subsidi haji diperkenalkan, TH telah membelanjakan sebanyak RM2.72 bilion untuk subsidi haji atau kini dipanggil sebagai Bantuan Kewangan Haji.

Ramai tidak menyedari bahawa pemberian subsidi ini bukanlah kewajipan TH atau kerajaan Malaysia. Ia sebenarnya adalah pemberian ehsan hasil keuntungan pelaburan daripada dana pendeposit sendiri.

Dividen yang diterima pendeposit setiap tahun hanya diagihkan selepas ditolak kos operasi TH, zakat dan subsidi haji. Ini bermaksud secara asasnya para pendepositlah yang menyumbang kepada subsidi jemaah haji selama ini.

Walaupun begitu, TH sering disalah anggap apabila ada pendeposit yang menerima tawaran haji tetapi tidak mempunyai simpanan mencukupi atau gagal ujian kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Tuduhan bahawa TH mengaut keuntungan daripada ibadat haji juga tidak benar sama sekali kerana Akta Tabung Haji jelas melarang sebarang keuntungan diraih daripada urusan haji.

Untuk musim haji 2026, TH bakal menanggung subsidi lebih RM210 juta untuk memastikan kos haji tidak membebankan bakal haji.

Di sebalik semua ini, terdapat satu isu yang jarang dibincangkan dengan jujur iaitu tahap persediaan kewangan umat Islam sendiri.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Tabung Haji, sebanyak 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit mempunyai simpanan kurang RM1,300.

Malaysia mempunyai 22 juta penduduk Islam di mana lebih separuh dari mereka masih belum membuka akaun TH bagi tujuan menabung untuk tunai haji.

Ramai juga yang hanya mula menyimpan dan mendaftar haji pada usia lewat apabila menjangkau sekitar 40 atau 50 tahun, sedangkan senarai menunggu kini adalah empat juta orang dan tempoh menunggu telah mencecah lebih 140 tahun.

Keadaan ini menyebabkan salah faham dan rasa tidak puas hati seolah-olah TH tidak menyediakan peluang, sedangkan isu sebenar adalah kurangnya persediaan awal.

Oleh itu, sudah sampai masanya kita sebagai umat Islam kembali kepada prinsip yang ditetapkan oleh Islam iaitu konsep istito’ah atau kemampuan.

Dalam Islam, haji hanya wajib bagi mereka yang mampu daripada segi kewangan, kesihatan dan keselamatan.

Jika tidak mampu, seseorang itu tidak berdosa. Tetapi dalam realiti masyarakat hari ini, ramai yang mahu pergi haji tetapi tidak membuat persediaan awal yang sepatutnya.

Ada yang mendaftar awal dan menerima tawaran, tetapi tidak mampu membayar kos asas walaupun telah diberikan subsidi besar.

Ada yang terpaksa menolak kerana kesihatan tidak mengizinkan, sedangkan ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal untuk pelbagai rukun seperti berjalan jauh pergi balik dari hotel ke Masjidil Haram, berwukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah serta urusan melontar jamarat sepanjang tiga hari di Mina.

Konsep istito’ah perlu dijadikan panduan untuk masa depan. Bakal jemaah sewajarnya mempunyai simpanan penuh sebelum menerima surat tawaran tunai haji supaya tidak timbul masalah kewangan pada saat akhir.

Hanya mereka yang benar-benar sihat perlu dibenarkan menunaikan haji supaya ibadat dapat dilaksanakan dengan sempurna dan selamat.

Sementara itu, subsidi pula boleh dikaji semula agar ia lebih seimbang, agar pendeposit juga dapat menikmati dividen yang lebih baik sekaligus membolehkan sistem urusan haji negara kekal mampan.

Akhirnya, umat Islam perlu memahami bahawa haji ialah ibadat yang diwajibkan hanya kepada mereka yang berkemampuan. Apa yang lebih penting ialah merancang lebih awal, menyimpan sejak muda dan memahami realiti ekonomi semasa.

Dengan kefahaman dan persediaan yang betul, impian menunaikan Rukun Islam kelima dapat direalisasikan tanpa menimbulkan kekeliruan, salah faham atau beban kepada mana-mana pihak.

*Pembaca Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!