Demi tabik hormat, dua beradik setia tunggu tiap kali motosikal polis lalu depan rumah

Dua kanak-kanak setia menunggu dan memberi tabik hormat kepada Wan Mohd Faizal.
Dua kanak-kanak setia menunggu dan memberi tabik hormat kepada Wan Mohd Faizal.
A
A
A

PASIR MAS - Tabik hormat dua kanak-kanak dalam hujan renyai menyentuh hati seorang anggota polis hingga mendorongnya menghentikan motosikal dan menyapa mereka di Kampung Meranti, di sini, pada Ahad.

Koperal Wan Mohd Faizal Wan Azman, 40, dari Cawangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata, dua beradik lelaki berusia tujuh dan empat tahun itu sudah sejak tiga bulan lalu akan keluar ke tepi jalan setiap kali terdengar bunyi enjin motosikal pengiring.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit seolah-olah sudah mengenali bunyi motosikal berkuasa tinggi yang digunakannya ketika mengiringi kenderaan rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

 

Kanak-kanak diberi peluang menaiki motosikal polis.
Kanak-kanak diberi peluang menaiki motosikal polis.

 

“Kebiasaannya mereka akan keluar sekitar jam 5 hingga 6 petang. Setiap kali lalu, mereka berdiri dan tabik.

“Saya perasan perkara itu sudah lama, tetapi saya tidak pernah berhenti kerana faktor keselamatan dan prosedur tugas,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Wan Mohd Faizal berkata, sekitar jam 1 tengah hari, Ahad, selepas selesai mengiringi Menteri Besar Kelantan pulang ke rumah di kampung sama, jadual tugasnya tidak padat berbanding kebiasaan membolehnya berhenti dan bermesra dengan kanak-kanak tersebut.

“Walaupun hujan renyai, dua beradik ini tetap menunggu dan tabik.

“Saya tersentuh melihat kesungguhan mereka, jadi saya ambil keputusan berhenti seketika untuk menyapa,” katanya.

Menurutnya, sebagai anggota pengiring, dia menunggang motosikal Honda ST 1300 milik Polis Diraja Malaysia dan perlu sentiasa peka terhadap persekitaran bagi memastikan keselamatan pergerakan pemimpin negeri.

 

Kanak-kanak yang bersalam dengan Wan Mohd Faizal (kanan).
Kanak-kanak yang bersalam dengan Wan Mohd Faizal (kanan).

 

Dia berkata, selepas berhenti, salah seorang kanak-kanak itu menyuarakan hasrat untuk merasai pengalaman menaiki motosikal polis.

“Saya benarkan dia naik sekejap.

“Nampak jelas wajahnya gembira. Lepas turun, dia salam saya,” katanya sambil menambah bahawa ibu bapa kanak-kanak itu turut berada berdekatan setiap kali kanak-kanak itu keluar untuk tabik hormat.

Wan Mohd Faizal yang sudah berkhidmat selama 19 tahun dalam pasukan polis, termasuk 10 tahun bersama JSPT, berkata, pengalaman itu jarang berlaku dalam rutin tugasnya sebagai pengiring.

“Biasanya tugas saya bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir selepas waktu pejabat.

 

Wan Mohd Faizal bersama motosikal Honda ST 1300 milik PDRM.
Wan Mohd Faizal bersama motosikal Honda ST 1300 milik PDRM.

“Fokus utama ialah keselamatan, kawalan trafik dan pergerakan lancar sepanjang laluan,” katanya yang mula bertugas di Kelantan sejak 2007.

Anggota kelahiran Rantau Panjang itu turut menyatakan rasa bangga dapat berkhidmat di negeri sendiri dan menganggap setiap interaksi bersama masyarakat sebagai cerminan imej pasukan polis.

“Sebagai polis, saya nak tunjukkan contoh yang baik.

"Perkara positif inu memang susah nak dilihat, tetapi benda buruk mudah nampak. Jadi saya sendiri kena jaga sikap dan tingkah laku,” katanya.

Dia berkata, rakaman yang turut tular selepas dikongsi di media sosial itu dirakam menggunakan kamera peribadi Insta360 yang dipasang pada motosikalnya sejak 2022 bagi tujuan keselamatan diri semasa bertugas.

 

Wan Mohd Faizal menunggang motosikal Honda ST 1300 milik PDRM.
Wan Mohd Faizal menunggang motosikal Honda ST 1300 milik PDRM.

“Itu memang rutin, kamera dipasang untuk keselamatan, bukan untuk rakam kandungan.

“Video itu tular kerana momen itu berlaku secara spontan,” katanya.

Wan Mohd Faizal turut berharap pengalaman ringkas itu menjadi kenangan bermakna buat dua beradik berkenaan.

“Kalau mereka nak jadi polis satu hari nanti, jadilah polis yang baik dan berdisiplin,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Tabik hormat dua kanak-kanak dalam hujan menyentuh hati anggota polis Kampung Meranti
  • Dua beradik lelaki berusia tujuh dan empat tahun sudah tiga bulan tabik hormat kepada motor pengiring
  • Koperal Wan Mohd Faizal berhenti menyapa mereka selepas tugas mengiringi Menteri Besar Kelantan
  • Salah seorang kanak-kanak diberi peluang merasai pengalaman menaiki motosikal polis
  • Pengalaman itu harap menjadi kenangan bermakna dan inspirasi untuk menjadi polis yang baik dan berdisiplin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!