Inovasi berkualiti jimat kos

BESUT - Pasangan suami isteri dari Kampung Raja di sini memilih inovasi blok kadbod sebagai alat mencanting batik tradisional sekaligus menjadikan produk dihasilkan mereka antara yang menerima tumpuan dalam industri tekstil di Terengganu.
Pengasasnya, Afizah Shaidi, 30, berkata, idea menghasilkan batik menggunakan blok kadbod tercetus selepas menerima peningkatan tempahan memandangkan penggunaan blok tembaga memerlukan kos tinggi dan masa lebih lama.
Afizah bersama suami, Ahmad Taquddin Mohammad, 30, pada awalnya mencuba pelbagai alternatif seperti menggunakan kabus bunga dan acuan kuih sebelum berjaya menghasilkan blok kadbod bersalut lilin yang kini menjadi identiti unik jenama keluarkan batik, Qiezya Collection.
"Blok tembaga memang cantik tetapi ia mengambil masa lama dan kos agak tinggi. Dengan blok kadbod, kami dapat hasilkan rekaan lebih cepat, ringan, tahan dalam kuali dan kos penghasilannya jauh lebih rendah.
"Walaupun bukan teknik tradisi, ia menjadi inovasi baharu yang menarik minat generasi muda untuk mencuba seni batik," katanya kepada Sinar Harian.
Afizah berkata, penggunaan blok kadbod itu membolehkan mereka menghasilkan pelbagai motif dan rekaan dalam tempoh singkat, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran produk.
"Penggunaan blok kadbod ada banyak juga cabaran seperti ketebalan kertas, jenis gam dan lain-lain sehingga menghasilkan blok yang boleh digunakan di atas kain,"katanya.
Jelas Afizah, blok kadbod merupakan cetusan idea dan inovasi untuk menarik minat generasi baru.
"Ketika ini kita mampu menghasilkan blok yang cukup kempa dan setaraf blok blok tembaga tetapi berbeza dari segi teknik tradisi dalam batik blok.
"Blok 'kadbod' ini lebih ringan, tahan lebih lama dalam kali, kos penghasilan rendah serta mudah diajar di peringkat sekolah," katanya lagi.

Menceritakan perjalanan awal mereka berkecimpung dalam industri itu, Afizah berkata, modal permulaan hanya sekitar RM3,000 hasil simpanan sendiri dan sokongan ibu bapa.
"Pada peringkat awal, semuanya dibuat secara sederhana dengan peralatan terhad dan ruang kerja kecil. Kami hanya berdua menguruskan semua proses seperti mencanting, merebus, buat reka bentuk, layan pelanggan dan kemas kini hantaran di media sosial.
"Pelanggan pun belum kenal Qiezya, jadi agak sukar untuk dapat tempahan pada waktu itu," katanya.
Menurutnya, pelbagai strategi digunakan bagi memastikan produk yang dihasilkan mendapat sambutan antaranya menambah peralatan secara berperingkat serta memperbanyakkan video pendek di media sosial.
"Detik paling mencabar sudah tentu pada awal penubuhan ketika modal, peralatan dan tempahan sangat terhad.
"Tapi itulah yang menjadikan kami lebih kuat, berdisiplin dan kreatif untuk membina nama dalam industri batik.
"Bila kita cuba pelbagai pendekatan tanpa jemu, akhirnya ia berjaya melonjakkan populariti jenama ini," ujarnya.
Walaupun belum mempunyai kakitangan tetap, pasangan itu menerima pelajar praktikal setiap tiga hingga lima bulan daripada beberapa institusi bagi membantu operasi.
"Sambutan pelanggan terhadap produk ini sangat positif kerana hasilnya setanding blok tembaga," katanya.
Mengulas mengenai potensi industri batik, Afizah mengakui terpaksa berdepan persaingan tinggi namun percaya peluang masih luas jika lebih ramai generasi muda meminati seni itu.
"Jika minat itu berkembang, lebih banyak motif baharu dan inovasi dapat dilahirkan," katanya yang menghasilkan produk seperti kain pasang, kain kemeja, kaftan dan lain-lain.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, bantuan berstruktur terhadap sektor industri kecil dan sederhana (IKS) mampu mengangkat kraftangan tempatan ke peringkat global.
Katanya, Qiezya Collection bercadang memperluas ruang penghasilan produk serta menyediakan platform pembelajaran untuk generasi akan datang.
"Kami mahu Qiezya menjadi jenama yang membuka peluang pekerjaan, memperkaya industri kraftangan dan mengetengahkan identiti batik Terengganu.
"Jika sambutan terhadap produk batik dalam kalangan mereka meningkat, masa depan produk ini akan semakin cerah menerusi pelbagai inovasi baharu," katanya.
Ringkasan AI
- Pasangan suami isteri dari Kampung Raja menggunakan blok kadbod sebagai inovasi dalam pembuatan batik tradisional
- Afizah Shaidi dan Ahmad Taquddin Mohammad mencipta blok kadbod karena kos penggunaan blok tembaga tinggi dan memakan waktu lama
- Blok kadbod membolehkan mereka menghasilkan pelbagai motif dan rekaan dalam tempoh singkat dengan kapasiti pengeluaran yang meningkat
- Penggunaan blok kadbod dianggap sebagai inovasi baru yang menarik minat generasi muda terhadap seni batik
- Qiezya Collection, jenama batik mereka, bercadang memperluas ruang penghasilan produk dan menyediakan platform pembelajaran untuk generasi akan datang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

