Kereta api laju Whoosh jadi pilihan pelancong Malaysia sempena cuti Krismas

Kereta api laju Whoosh yang menghubungkan Bandung dengan Jakarta. - Agensi
Kereta api laju Whoosh yang menghubungkan Bandung dengan Jakarta. - Agensi
A
A
A

JAKARTA – Perkhidmatan kereta api laju Whoosh yang menghubungkan Jakarta dan Bandung mencatat lonjakan penumpang sempena cuti Natal dan Tahun Baru (Nataru) 2025/2026, dengan ramai pelancong dari Malaysia menggunakan mod pengangkutan itu sebagai sebahagian pengalaman pelancongan mereka.

Menurut PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), sepanjang tempoh perkhidmatan pengangkutan sempena Nataru yang bermula dari 18 Disember 2025, kira‑kira 13,000 penumpang antarabangsa telah menggunakan Whoosh, dan lebih 53 peratus atau sekitar 7,000 daripadanya ialah pelancong Malaysia.

Pengurus Besar bagi Hal Ehwal Korporat KCIC, Eva Chairunisa berkata, purata harian terdapat sekitar 750 hingga 1,000 pelancong Malaysia menaiki Whoosh dari Jakarta ke Bandung dan destinasi pelancongan lain di Jawa Barat sepanjang musim cuti ini.

“Pelancong Malaysia memanfaatkan cuti akhir tahun untuk melancong di Bandung serta mengunjungi destinasi popular seperti Lembang dan Ciwidey,” katanya, menurut kenyataan syarikat pada Sabtu.

Data syarikat turut menunjukkan sejak Whoosh mula beroperasi pada 2023 hingga 2025, jumlah penumpang dari Malaysia yang menggunakan perkhidmatan itu telah mencapai sekitar 294,000 orang, menunjukkan sumbangan besar pelancong Malaysia kepada kereta api laju tersebut.

Fenomena ini mencerminkan permintaan tinggi dari pelancong serantau, khususnya dari Malaysia, untuk meneroka destinasi pelancongan di Indonesia dengan menggunakan pengangkutan berkelajuan tinggi yang semakin popular.- Agensi

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Perkhidmatan kereta api laju Whoosh menghubungkan Jakarta dan Bandung mencatat lonjakan penumpang sempena cuti Natal dan Tahun Baru
  • Ramai pelancong dari Malaysia menggunakan Whoosh sebagai sebahagian pengalaman pelancongan mereka
  • Sejak perkhidmatan beroperasi dari 2023 hingga 2025, penumpang dari Malaysia telah mencapai sekitar 294,000 orang
  • Pelancong Malaysia memanfaatkan cuti akhir tahun untuk melancong di Bandung dan mengunjungi destinasi popular seperti Lembang dan Ciwidey
  • Permintaan tinggi dari pelancong serantau, khususnya Malaysia, untuk meneroka destinasi pelancongan di Indonesia dengan Whoosh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!