Gempa bumi di Bukit Kepong terkawal, tiada kerosakan harta benda

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mengesahkan keadaan terkawal susulan kejadian gegaran gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Bukit Kepong, Pagoh Muar jam 8.55 pagi Ahad.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gempa bumi berkenaan bermagnitud 3.4 dengan kedalaman 10 kilometer, namun setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima.

Menurut beliau, kejadian itu juga tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami kepada negeri Johor.

“Kerajaan negeri Johor sentiasa mengambil serius soal keselamatan rakyat.

"Pemantauan rapi sedang dijalankan bersama agensi berkaitan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa agar rakyat mendapat maklumat yang sahih dan tepat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya kekal bertenang, mengelakkan berada berhampiran struktur yang tidak kukuh, serta sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengajak rakyat Johor agar berdoa supaya negeri ini sentiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT serta dijauhkan daripada sebarang musibah dan bencana.

Sebelum ini gegaran gempa bumi dilaporkan berlaku di Segamat dan Batu Pahat.

Gempa pertama berlaku di Segamat dengan kekuatan 4.1 dan 2.8 magnitud pada 24 Ogos diikuti 3.2 magnitud pada 27 Ogos; 2.5 magnitud (28 Ogos) dan 3.4 magnitud (29 Ogos).

Artikel Berkaitan:

Sementara di Batu Pahat, gempa bumi dengan kekuatan 2.7 dan 2.9 magnitud dilaporkan berlaku pada 30 dan 31 Ogos lalu dan terakhir 2.9 magnitud pada 3 September lalu.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Johor mengesahkan keadaan terkawal susulan kejadian gegaran gempa bumi lemah yang berlaku di Bukit Kepong, Pagoh Muar
  • Gempa bumi berkenaan bermagnitud 3.4 dengan kedalaman 10 kilometer tanpa laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda
  • Kejadian itu tidak mendatangkan sebarang ancaman tsunami kepada negeri Johor
  • Kerajaan Negeri Johor melaksanakan pemantauan rapi bersama agensi berkaitan dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa
  • Orang ramai dinasihatkan kekal bertenang, mengelakkan berhampiran struktur yang tidak kukuh dan mematuhi arahan pihak berkuasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!