10 jajahan di Kelantan berisiko banjir bermula Jumaat

JPS dalam hebahan ramalan awal banjir memaklumkan, situasi itu dijangka berlaku di beberapa lembangan sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri - Gambar hiasan
JPS dalam hebahan ramalan awal banjir memaklumkan, situasi itu dijangka berlaku di beberapa lembangan sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU – Sebanyak 10 jajahan di Kelantan dikenal pasti berisiko dilanda banjir bermula Jumaat hingga 30 Disember ini, susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam hebahan ramalan awal banjir memaklumkan bahawa situasi itu dijangka berlaku di beberapa lembangan sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri.

Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), hebahan berkenaan dikeluarkan pada jam 12.30 tengah hari Jumaat, susulan hujan lebat berterusan yang diramal bermula 26 hingga 30 Disember ini.

Antara jajahan yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

Bagi jajahan Tumpat dan Pasir Mas, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan, manakala Bachok pula melibatkan lembangan Sungai Semerak dan Sungai Kemasin.

Machang, Kota Bharu dan Tanah Merah turut dikenal pasti berisiko banjir di lembangan Sungai Kelantan, selain Pasir Puteh yang melibatkan lembangan Sungai Semerak termasuk Sungai Buaya Ikat.

JPS turut memaklumkan bahawa risiko lebih besar dijangka di kawasan pedalaman termasuk Kuala Krai dan Gua Musang yang melibatkan beberapa lembangan utama seperti Sungai Lebir, Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Jelai.

Menurut JPS, ramalan awal ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk di kawasan berisiko membuat persediaan awal, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana untuk memperkukuh kesiapsiagaan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca, mengikuti amaran terkini banjir serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sebanyak 10 jajahan di Kelantan dikenal pasti berisiko dilanda banjir bermula Jumaat hingga 30 Disember
  • Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)
  • Jajahan terlibat termasuk Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang
  • Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan risiko lebih besar di kawasan pedalaman seperti Kuala Krai dan Gua Musang
  • Ramalan awal dikeluarkan untuk membolehkan penduduk membuat persediaan dan pihak berkuasa memperkukuh kesiapsiagaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!