Amaran hujan berterusan di empat negeri sehingga Isnin ini

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan di empat negeri sehingga Isnin ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan hujan berterusan tahap buruk dijangka landa Pahang dan Johor. Di Pahang, kawasan yang terlibat ialah Kuantan, Pekan dan Rompin manakala di Johor melibatkan Mersing.
Amaran hujan lebat tahap waspada turut dikeluarkan bagi Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran serta Bera) dan Johor (Segamat, Kluang serta Kota Tinggi).
Ribut petir, hujan lebat serta angin kencang pula dijangka berlaku di tujuh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan setakat 6 petang ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk dijangka melanda Batang Padang di Perak serta Tanah Tinggi Cameron dan Lipis di Pahang selain Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Jempol dan Tampin), Melaka serta Johor (Tangkak, Batu Pahat dan Pontian).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Sarawak melibatkan Kuching, Serian, Samarahan (Samarahan dan Simunjan) serta Limbang manakala di Sabah melibatkan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat, Tawau, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat, selain Labuan. - Bernama
Ringkasan AI
- MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk di Pahang dan Johor
- Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang; Mersing di Johor terlibat
- Amaran hujan lebat tahap waspada bagi Kelantan, Terengganu, dan beberapa bahagian di Pahang dan Johor
- Ribut petir dan angin kencang dijangka melanda tujuh negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan
- Cuaca buruk juga dijangka di beberapa kawasan di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
